Saturday, July 31, 2010

Bangkai buaya hanyut di wharf Sri Aman

Bangkai buaya hanyut di wharf Sri Aman


Caption: YE YE MATI PUN BOLEH MASUK PAPER...Foto sumbangan United Daily News menunjukkan bangkai buaya yang terapung di Ulu Sungai Batang Lupar sebelum ia dipercayai hanyut ke kawasan jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar awal pagi hari ini.

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Orang ramai gempar hari ini apabila seekor bangkai buaya ‘katak’ sepanjang 10 kaki panjang dengan lebar 40 sentimeter hanyut ke bawah jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar Sri Aman awal pagi hari ini.

Utusan Sarawak yang bergegas ke kawasan dermaga berkenaan pada 7.40 pagi hari ini mendapati bahawa kawasan sekitar jeti terbabit sedang busuk dipercayai datangnya dari bangkai buaya yang berada di bawah jeti berkenaan.

“Bangkai buaya berkenaan mulanya hanyut di luar kawasan jeti ini setengah jam yang lalu. Bagaimanapun disebabkan oleh faktor arus air hasil kejadian pasang surut maka bangkai berkenaan mungkin telah hanyut di bawah jeti ini.

“Tidak saya bayangkan jika bangkai buaya terus berada di bawah jeti ini. Bau busuk dari bangkai buaya berkenaan mungkin tidak akan menyebabkan orang ramai tidak dapat goyang kaki ketika minum di gerai jeti ini pada waktu petang,” kata seorang penduduk yang mendakwa melihat bangkai buaya berkenaan sebelum itu.

Disebabkan oleh faktor keselamatan kawasan jeti berkenaan, kakitangan Utusan Sarawak tidak berupaya untuk mengambil gambar bangkai buaya terbabit yang tidak diketahui punca kematiannya sebelum itu.

Bagaimanapun Utusan Sarawak yang melakukan siasatan lanjut berhubung perkara ini yakin bahawa bangkai buaya berkenaan telah hanyut dari kawasan hulu Sungai Batang Lupar di Engkilili ketika berlaku proses pasang surut di sungai berkenaan.

Akhbar United Daily News pada tarikh 28 Julai melaporkan seorang pekebun di Engkilili menemui bangkai seekor buaya katak sepanjang 10 kaki yang terapung di sungai berdekatan kawasan kebunnya kelmarin.

Laporan terbabit turut memberitahu bahawa buaya berkenaan mungkin telah mati semenjak tiga atau empat hari yang lepas dan dihanyutkan oleh faktor air pasang surut di Sungai Batang Lupar sehingga ke kawasan jeti terbabit bermula dari malam tadi hingga awal pagi hari ini.

Buaya berkenaan juga dipercayai pernah menyerang seorang penduduk di Engkilili ketika melakukan urusan perikanan di sungai berkenaan namun berjaya menyelamat diri dengan berpaut pada tunggul pokok di sungai terbabit.
http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/bangkai-buaya-hanyut-di-wharf-sri-aman.html

20,000 saksi kibar Jalur Gemilang

20,000 saksi kibar Jalur Gemilang

KANGAR 31 Julai - Kira-kira 20,000 penonton dijangka menyaksikan pelbagai persembahan yang akan dijayakan kira-kira 3,000 peserta sempena pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan di Stadium Utama di sini malam esok.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata persembahan sempena pelancaran gilang-gemilang itu akan tetap diteruskan walaupun hujan.

Pelancaran Kibar Jalur Gemilang itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serentak dengan bermulanya sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi".

Katanya, beliau mengakui cabaran persiapannya amat berat kerana ini kali pertama ia dilakukan secara besar-besaran kerana sebelum ini program kibar Jalur Gemilang dibuat secara kecil-kecilan.

Raptai persembahannya telah disaksikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Khamis lalu.

Norliza berkata, apa yang dilakukan pada persiapan akhir itu ialah memastikan segalanya berjalan lancar esok apabila acara bermula pada pukul 8 malam.

Selain acara padang termasuk perarakan Jalur Gemilang gergasi, turut diadakan ialah persembahan aksi hebat Wira Merah, kumpulan akrobatik motosikal yang menjadi kebanggaan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).

Antara aksi hebat yang bakal dipertontonkan ialah menunggang motosikal sambil memetik gitar, menampi padi sambil menaiki motosikal bergerak dan pelbagai aksi yang mendebarkan.

Perarakan 20 jenis kereta nasional keluaran Proton juga akan diadakan selain acara mendirikan simbol 1Malaysia gergasi di tengah padang oleh kumpulan peserta persembahan.

Antara tetamu yang dijangka hadir pada pelancaran itu termasuk Rais dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja akhir di Stadium Utama itu termasuk pemasangan permaidani merah dan hiasan bunga sedang giat dilakukan.

Sambutan Bulan Kemerdekaan itu yang bermula dengan pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Perlis akan berakhir dengan dengan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September ini manakala sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung 31 Ogos ini di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur. — BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_02.htm

Serah pada TPM Ogos

Serah pada TPM Ogos

PUTRAJAYA 31 Julai - Hasil perbincangan dua meja bulat mengenai cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lalu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum hujung Ogos ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini, semua hasil perbincangan tersebut, termasuk laporan akhbar serta e-mel daripada orang ramai mengenai cadangan pemansuhan itu sedang diperhalusi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

''Kita tengah menyediakan laporan untuk Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) dan sekiranya ia berjalan lancar, laporan itu akan siap sebelum akhir bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-37 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima tajaan bagi pertandingan itu sebanyak RM165,400 daripada Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat).

Sementara itu, mengenai pertandingan tersebut, Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) menjuarai bahas Bahasa Inggeris manakala bagi Bahasa Melayu pula dimenangi Sekolah Datuk Abdul Razak (Seremban, Negeri Sembilan).

Masing-masing membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM4,000.

Pembahas Terbaik bagi Bahasa Inggeris dimenangi oleh Muhammad Aiman Sabeh Mohd. Shahib dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Ipoh, Perak) manakala Adzlan Qushaimi Jamaludin dari Sekolah Datuk Abdul Razak pula sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Melayu.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Jaga gigi anak

Jaga gigi anak

KEBANYAKAN ibu bapa memandang remeh penjagaan gigi anak-anak. Justeru, tidak hairan apabila gigi susu yang sepatutnya mula longgar pada usia enam tahun mengalami kerosakan dan terpaksa dicabut seawal usia tiga tahun.

Pembentukan gigi bayi sebenarnya bermula di peringkat janin. Oleh itu, pengambilan makanan ibu terutama kalsium ketika hamil sangat penting dalam mempengaruhi pembentukan gigi dan janin itu sendiri.

Mitos setiap kali hamil ibu akan kehilangan sebatang gigi atau gigi reput tidak benar dan boleh diatasi dengan pengambilan makanan yang betul.

Ketika proses menyusu,, selepas bayi selesai menyusu, lapkan batas gusinya menggunakan tuala basah dengan lembut.

Ini bagi mengelakkan sisa susu tertinggal dalam mulut yang kemudian akan berlendir dan mengembang.

Gigi susu tumbuh pada usia enam bulan. Set gigi susu lengkap hanya akan muncul pada usia dua tahun setengah.

Ketika usia kanak-kanak mencecah tiga tahun, ibu bapa boleh memperkenalkannya dengan berus dan ubat gigi kanak-kanak.

Perlu disedari di bawah setiap batang gigi susu ada gigi kekal yang akan tumbuh mengikut masa yang sepatutnya.

Sebab itu penjagaan gigi susu penting supaya tidak rosak kerana akan menyukarkan gigi kekal untuk tumbuh dengan baik.

Apabila gigi kekal tumbuh tanpa panduan gigi susu, ia tidak akan tumbuh dengan kedudukan yang baik.

Ia antara punca kedudukan gigi yang lintang pukang dan tidak cantik serta memerlukan bantuan pendakap gigi.

Oleh itu, untuk mendapatkan gigi yang cantik, penjagaan dari peringkat awal adalah penting.

Ajar anak-anak menggosok gigi mengikut jadual setiap pagi dan malam. Pastikan ibu bapa juga menjaga gigi dan jika boleh lakukannya bersama anak mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Kopi baik atau buruk?

Kopi baik atau buruk?

Adakah kopi baik atau buruk untuk kesihatan? Hakikatnya ia terpulang kepada pilihan kita.

Menambah tenaga

Kopi dikatakan berguna untuk menambah tenaga dan membuatkan orang terjaga daripada ngantuk. Kandungan utama dalam kopi adalah kafein, yang berfungsi sebagai perangsang susunan saraf pusat (otak), sistem pernafasan, serta sistem pembuluh darah dan jantung. Sebab itu tidak hairan setiap kali kita minum kopi dalam jumlah yang sederhana (1 - 3 cawan), tubuh kita terasa segar, daya berfikir lebih cepat, tidak mudah penat dan mengantuk.

Ubat sakit kepala

Kafein sering kali dijadikan salah satu bahan pelengkap ubat sakit kepala. Ini kerana kafein memiliki kemampuan menyempitkan pembuluh darah ke otak sehingga pelebaran pembuluh darah di daerah otak yang merupakan penyebab sakit kepala berkurangan

Mengurangkan lemak

Lebih menarik, kafein dikatakan dapat menyusutkan lemak. Secara psikologi, tubuh badan yang gemuk kurang mampu membakar lemak ketika bersukan berbanding mereka yang bertubuh normal. Hasilnya, badan akan membakar karbohidrat sebagai sumber tenaga, sehingga kadar gula darah cepat merosot. Sebab itulah orang gemuk rasa lapar berlebihan setelah bersukan atau bersenam dan akhirnya cenderung makan lebih banyak. Dengan minum tiga cawan kopi, tubuh mereka akan bertindak balas untuk membakar lebih banyak lemak. Kafein membantu memecah lemak menjadi sumber tenaga sedia guna. Perkara ini mendorong badan lebih banyak memanfaatkan lemak, sehingga pembakaran karbohidrat menjadi lebih terbatas. Yang perlu diperhatikan kandungan gula dalam kopi terkawal.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

Generasi baru telefon bimbit

Generasi baru telefon bimbit


Model yang ditawarkan pasti mengujakan.


SEBAGAI sebuah syarikat pengeluar telefon bimbit tempatan yang kini semakin dikenali, Spice CSL International Sdn. Bhd. (CSL) terus melangkah kehadapan dengan menghasilkan model terbaru.

Kini CSL mempertaruhkan tiga lagi keluaran terbaru mereka iaitu Spice MI300, sebuah telefon bimbit android, Bluberry Knight W8000 untuk aplikasi 3G dan W600.

Bagi Spice MI300 didatangkan bersama pemproses sehingga 600 Mhz dan chip set daripada Qualcomm selain turut dilengkapi aplikasi 3G Quadband.

Memiliki skrin sesentuh HVGA seluas 3.2 inci sekali gus dapat memastikan ia memberi kepuasan sehingga ke tahap maksimum kepada peminatnya.

Antara kelebihan lain adalah ia juga memiliki kamera lima mega piksel, ROM 512 MB, RAM, 256 MB, WiFi, Pengesan G dan E-kompas.

Selain itu sistem androidnya juga telah diperbaharui daripada versi v1.6 kepada v2.1 dan hampir 50,000 aplikasi boleh dimuat turun daripada pasaran android.

MI300 turut dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) bersama perisian Map King, perisian anti kecurian, CSL Fun Club, BlueBerry Messenger, unit stor BlueBerry dan aplikasi tambahan berunsurkan Islamik seperti Penggera Azan, Kompas Kiblat dan Al-Quran.

Sementara itu bagi model 3G iaitu BlueBerry Knight W8000 turut dimuatkan bersama cip set Qualcom dan seperti biasa aplikasi 3G, skrin paparan LCD QVGA seluas 2.4 inci.

W8000 turut menggunakan papan kekunci QWERTY seterusnya boleh melayari Mini opera, Facebook, Twitter segala proses disokong oleh kad SD mikro.

Namun CSL turut memperkenalkan aplikasi yang unik iaitu pad trek, modem HSDPA, kamera tiga mega piksel, panggilan video, BlueBerry Messenger, BlueBerry Store, BlueBerry Mail.

Tidak ketinggalan aplikasi berteraskan Islamik iaitu penggera Azan, Kompas Kiblat, HadHari dan Al-Quran.

Seterusnya model W600 pula tetap sama, memiliki cipset Qualcomm, aplikasi 3G, paparan skrin LCD 2.4 inci, kamera tiga mega piksel, mini opera, Facebook dan Twitter selain turut disokong oleh kad SD mikro.

Antara kelebihan W600 yang lain adalah ia memiliki televisyen analog, modem HSDPA, memiliki ketiga-tiga kelebihan BlueBerry iaitu, mesej, mail dan stor selain aplikasi Islamik sama seperti W8000.

Ketiga-tiga model terbaru telefon bimbit tersebut kini sudah berada dipasaran untuk jualan dan bagi yang berminat anda boleh mendapatkannya di cawangan CSL yang berdekatan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_02.htm

Penjawat awam ‘curi tulang’ dirakam

PUTRAJAYA 31 Julai - Awas! penjawat awam yang cuba 'curi tulang' dengan menghabiskan masa di kafetaria atau pusat membeli-belah pada waktu pejabat di sini.

Ini kerana gelagat anda akan dirakamkan menerusi kamera kompak oleh anggota dua skuad pemantau dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Skuad yang ditubuhkan itu akan berkeliaran di lokasi-lokasi yang dikenal pasti antaranya Taman Warisan Pertanian dan Alamanda untuk merakam perbuatan seumpama itu.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan di JPA, Datuk Dr. Mohd Azhar Yahaya memberitahu, pemantauan itu dilakukan ekoran aduan orang ramai terhadap sikap segelintir pegawai awam yang tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di pusat membeli-belah semasa tempoh tersebut.

Waktu rehat bagi sektor awam adalah antara 1 hingga 2 petang sahaja tetapi kelonggaran diberikan kepada penjawat awam yang mempunyai urusan rasmi pada waktu itu.

''Pegawai awam yang ditangkap semasa operasi dilaksanakan akan diambil maklumat peribadi mereka dan dipanjangkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk diambil tindakan sewajarnya.

''Ketidakpatuhan waktu bekerja bertentangan dengan Perintah Am 5, Perintah-Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974.

''Juga, menyalahi Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta Tatakelakuan Pegawai Awam di bawah Peraturan 4," katanya dalam surat Edaran JPA 2020 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, susulan dari tindakan itu, ketua jabatan diminta menguatkuasakan peraturan mengenai pematuhan waktu masuk bekerja pada sebelah pagi dan tengah hari.

''Mereka juga perlu membuat pemantauan secara berterusan di kantin, kafeteria dan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pegawai di bawah seliaan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Korporat JPA, Nik Noraini Nik Ya berkata, meskipun waktu anjal bekerja diperuntukkan kepada penjawat awam namun ia bukan faktor atau alasan untuk duduk minum di kafetaria semasa waktu pejabat.

''Kita ada tiga waktu anjal bekerja iaitu antara 7.30 pagi hingga 4.30 petang, 8 pagi - 5 petang dan 8.30 pagi - 5.30 petang namun kakitangan tidak boleh sewenang-wenang keluar untuk sarapan pada pukul 9 pagi walaupun anda masuk 7.30 pagi.

''Bagaimanapun di sini, pengecualian tertentu bergantung kepada situasi misalnya jika penjawat awam itu dari kalangan guru. Dengan masa bekerjanya antara 7 pagi hingga 1 petang, takkan skuad berkenaan mahu menahannya atas kesalahan itu jika ternampak dia di Alamanda sekitar pukul 3 petang," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Sambutan Hari Pahlawan catat sejarah baru

KUALA LUMPUR 31 Julai - Sambutan Hari Pahlawan peringkat kebangsaan tahun ini mencatat sejarah apabila buat kali pertama tidak disambut di Tugu Negara sebaliknya diadakan di Dataran Merdeka di sini.

Upacara mengalungkan bunga di tugu peringatan yang menjadi acara tetap sebelum ini, juga tidak lagi diadakan pada sambutan hari ini.

Ini selaras nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan supaya sambutan Hari Pahlawan tidak diadakan di kawasan mempunyai patung manusia manakala upacara mengalungkan bunga dimansuhkan kerana kedua-duanya bertentangan dengan Islam.

Pun begitu, perubahan lokasi tidak sedikit pun menjejaskan sambutan Hari Pahlawan tahun ini apabila ia masih berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan dan bersemangat.

Ini terbukti dengan kehadiran ramai bekas anggota tentera dan polis yang sebelum ini berjuang mempertahankan kedaulatan negara selain turut menarik minat puluhan diplomat asing.

Pada tahun ini, 806 anggota pasukan keselamatan dan bekas anggota keselamatan mengambil bahagian dalam upacara perbarisan yang menjadi sebahagian daripada atur cara wajib sambutan.

Sambutan berkenaan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan semua panglima cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga hadir.

Dalam sambutan pada hari ini, acara baru ialah persembahan pantomin bertajuk 'Pertempuran Bukit Candu'.

Persembahan pantomin itu bertujuan mengimbau keberanian Leftenan Adnan Saidi mempertahankan nusa dan bangsa daripada serangan tentera Jepun sehingga ke titisan darah terakhir.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormat utama oleh Tuanku Mizan sebelum tiupan paluan akhir bagi membolehkan Jalur Gemilang diturunkan diikuti bacaan sajak pahlawan.

Sejurus pantomin 'Pertempuran Bukit Candu' selesai, paluan fajar sekali lagi ditiupkan, kali ini bertujuan menaikkan Jalur Gemilang.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan titah Tuanku Mizan dan serentak dengan itu laungan 'Daulat Tuanku' tiga kali sebelum sambutan diakhiri dengan bacaan doa.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Monday, July 26, 2010

Semua sekolah perlu sedia bilik pengasingan

BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh negara perlu menyediakan bilik pengasingan yang sesuai dan mencukupi bagi menempatkan pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), minggu depan jika mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan Influenza A (H1N1).

Sambil mengalu-alukan keputusan Kementerian Pelajaran mewajibkan pengambilan suhu badan pelajar, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata keputusan itu juga amat wajar dan perlu disokong sepenuhnya.

“Langkah ini memang tepat bagi mengelak penularan H1N1 di kalangan pelajar. Sepatutnya perkara ini sudah lama dilakukan untuk memastikan keadaan kesihatan pelajar sekolah ini lebih terjamin. Kami harap pihak sekolah mempunyai kemudahan mencukupi, terutama bilik yang sesuai untuk pengasingan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, selain menyediakan bilik sesuai dan mencukupi, keselamatan guru bertugas juga perlu diambil kira selain pemantauan berterusan dilakukan dan bukan hanya pada musim menjelang peperiksaan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata ibu bapa tidak perlu risau keselamatan anak mereka kerana semua langkah perlu sudah diambil bagi memastikan pelajar yang terbabit dalam UPSR tidak terganggu dengan pelaksanaan ujian suhu badan itu.

Katanya, perkara itu dipersetujui secara bersama oleh semua kesatuan guru selepas mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom kelmarin.

“Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM4.5 juta bagi membekalkan topeng penutup mulut serta hidung dan termometer untuk kegunaan guru pengawas peperiksaan seluruh negara,” katanya.

Selain itu, semua sekolah juga mampu menyediakan bilik pengasingan mencukupi.

“Satu unit kecemasan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan juga akan ditempatkan di semua sekolah. Garis panduan bagi pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR ini akan diguna untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia nanti,” katanya.

Mohamad Sabri berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengarahkan pelajar yang tidak terbabit dengan peperiksaan UPSR dibenarkan pulang, jika ada hasil ujian suhu badan dijalankan ke atas pelajar UPSR mempunyai tanda-tanda H1N1.

Senam Rakyat Sri Aman 2010 - Siri 1

Pusat Sukan Satelit di sekolah

Pusat Sukan Satelit di sekolah

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan isyarat bagus kepada pasukan Terengganu yang muncul juara keseluruhan pada Majlis Penutup Kejohanan Formula Future Kebangsaan 2010 di Taman Botani, Putrajaya, semalam. – Utusan/ HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 25 Julai – Kerajaan akan membina Pusat Sukan Satelit (PSS) di sekolah-sekolah di setiap negeri dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dalam usaha mencungkil bakat-bakat sukan bermula dari peringkat sekolah kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PSS juga berperanan untuk mendedahkan atlet dan jurulatih tentang perkembangan sains sukan, pemakanan dan perubatan serta penyelidikan sukan bagi membantu melahirkan ahli sukan bertaraf dunia.

“Kewujudan PSS penting untuk memberikan sokongan kepada atlet dan jurulatih di peringkat akar umbi.

“Justeru, kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan akan dipertingkatkan untuk menyediakan platform menggalakkan penglibatan para pelajar di dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup dan menyampaikan hadiah Kejohanan Formula Future Kebangsaan 2010 di Taman Botani di sini hari ini.

Kejohanan yang berlangsung di Tasik Putrajaya sejak 22 Julai lalu membabitkan penyertaan 130 orang pilot berumur daripada tujuh hingga 18 tahun berentap bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Formula Future 2010 di Carr Mills, St. Helens, Merseyside, England pada 13 hingga 15 Ogos ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Sukan Air Bermotor Malaysia (Pesuam), Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee dan Pengarah Urusan H20 Sports, Datuk Yahya A. Jalil.

Muhyiddin yang memberikan kata-kata semangat kepada 10 pilot yang layak ke kejohanan dunia itu berharap pasukan negara akan dapat pulang sebagai juara sebagaimana yang telah dilakukan selama empat kali sebelum ini.

Beliau yang kagum dengan kejayaan pilot-pilot Malaysia membawa pulang kejuaraan dunia iaitu pada 2004 di Lisbon, Portugal selain di Portimao, Portugal (2005); Leer, Jerman (2007) dan Revanna, Itali pada 2008.

Katanya, mereka telah membuktikan negara ini tidak ketandusan dalam melahirkan barisan pilot yang bertaraf dunia.

“Sesungguhnya kerjasama pintar di antara sektor kerajaan dan swasta telah membuahkan banyak kejayaan dalam pembangunan sukan negara,” katanya.

Dalam hal ini beliau berkata, kejayaan sukan Formula Future di negara ini hingga dapat mengembangkan sayapnya ke seluruh negara adalah salah satu contoh kerjasama pintar antara sektor kerajaan dan swasta yang perlu dijadikan tauladan oleh badan-badan sukan, sektor swasta dan agensi-agensi kerajaan.

“Melalui perancangan, sistem pelaksanaan dan program pembangunan yang holistik dan sistematik di antara penggerak industri bersama agensi-agensi kerajaan berkenaan, pasti kita akan membuahkan hasil yang membanggakan negara,” katanya.

Sementara itu, pasukan Terengganu muncul juara keseluruhan kejohanan tersebut apabila membolot tempat-tempat utama dalam sebahagian besar acara manouvering dan slalom melibatkan kelas satu hingga lima.

Enam orang pilot dari negeri tersebut terpilih dalam senarai 10 peserta yang akan bertanding di kejohanan dunia pada bulan depan.

Bagi kelas satu ialah Akef Hilmie Mohd. Zambry dan Dzafran Mohd. Noor, masing-masing dari Terengganu manakala kelas dua, Muhammad Zhafree Ammar Mohd. Zambry (Terengganu) dan Hadi Irfan Mohd. Rahaizah (Wilayah Persekutuan).

Kelas tiga diwakili oleh Muhammad Hanif Ramil (Pahang) dan Muhammad Azwar Yahya (Wilayah Persekutuan) manakala kelas empat ialah Nik Daniel Affifudin Nik Kamaruzaman dan Tg. Mohd. Kamal Hishamudin Tg. Mohd. Zainal Abidin Petra, masing-masing dari Terengganu.

Muhammad Faqih Noor Hamzah (Wilayah Persekutuan) dan Muhammad Faidzullah Ramli (Terengganu) mewakili kelas lima.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Motivasi UPSR Bahasa Arab 2010

Friday, July 23, 2010

Kelab Ihya Tahsyin ungguli pertandingan badminton hari guru 2010

Kelab Ihya Tahsyin ungguli pertandingan badminton hari guru 2010


Caption: MANTAP...Sebahagian dari aksi pasukan yang berentap dalam pertandingan badminton di dewan serbaguna IPD Sri Aman baru-baru ini.

SRI AMAN, Ahad (22 Julai) – Kelab Badminton “Ihya Tahsyin” Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sri Aman telah mengungguli Pertandingan Badminton yang diadakan bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Sri Aman di Dewan Serbaguna IPD Sri Aman baru-baru ini.

Kelab Badminton “Ihya Tahsyin yang diterajui oleh Dahlan bin Ham dan Jesry Mida itu telah mencatat kemenangan besar setelah memperoleh kejuaraan bagi dua kategori pertandingan tersebut iaitu kategori terbuka Senior dan Veteran.

Dalam saingan akhir bagi Kategori Terbuka Senior, pasukan Ihya Tahsyin yang dianggotai oleh Abdul Karim dan Jesry Mida pula telah menewaskan pasukan regu Musa Tuah dan Shahir Bujang.

Manakala Kategori Veteran menyaksikan pasukan Ihya Tahsyin diwakili oleh Wan Samsu dan Alderin Babat menumpaskan regu pilihan kejohanan iaitu Abang Hamdan Abang Yassin dan Dulhadi Haji ismail.

Bagi ketegori VIP pula pasangan Walter Lamat Kiyai (PPD Sri Aman) dan Kwang Law muncul sebagai juara setelah berjaya menumpaskan saingan pasangan Kulok Laga dan Albert Kambun dari PSKPP Daerah Sri Aman.

Turut hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir ini ialah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Haji Abdul Rahman Haji Muhiyuddin, wakil Yang Dipertua dan Exco Majlis Guru Besar Daerah Sri Aman, Iman Haji Joni, Leonard Libau, Isa Reff dan ketua Unit Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok anak Shem.

Rahman menerusi pertandingan itu melahirkan rasa bangga di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan carnival tersebut dan seterusnya merealisasikan perlaksanaan konsep 1Malaysia.

Majlis penyampaian hadiah akan dilangsungkan pada 23 Julai ini bertempat di Dewan SK Sri Aman sempena Majlis Malam Ria Karnival Sukan Hari Guru Peringkat Daerah Sri Aman 2010.

Terdahulu Pertandingan Badminton anjuran Majlis Guru Besar Daerah Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman ini mengetengahkan kategori terbuka senior, kategori Veteran dan kategori VIP. Pertandingan ini telah disertai oleh semua warga pendidikan di Daerah Sri aman dan Daerah Lubok Antu.
http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/kelab-ihya-tahsyin-ungguli-pertandingan.html

kalendar yang kecil dan cantik untuk desktop

rainlendar Rainlendar Lite adalah sebuah kalendar yang kecil dan cantik untuk desktop anda. Anda boleh tandakan tarikh-tarikh penting pada Rainlendar, serta catatkan memo tentang perkara-perkara yang perlu anda buat (To Do List). Selain itu, anda juga boleh tetapkan jam penggera untuk kejut anda bangun pada setiap pagi ^^

Kali pertama anda mencuba Rainlendar, anda akan mendapati ianya sangat mudah untuk digunakan. Hanya klik terus pada tarikh di atas kalendar untuk menetapkan peristiwa yang akan berlaku. Untuk mencatat memo pula, right-click pada To Do List dan pilih New Task.

Paparan Rainlendar yang ringkas dan menarik memang sedap dipandang mata, dan ianya separuh lutsinar agar sesuai dengan wallpaper anda. Namun jika anda inginkan paparan yang berbeza, anda boleh download pelbagai jenis skin dari laman web Rainlendar. Rainlendar juga tidak menggunakan ruang hard disk mahupun resource yang banyak.

Bagaimana Nak Bawa Rainlendar Bersama Pen Drive?

Copy folder Rainlendar ke dalam Pen Drive anda. Kemudian buat satu fail bari bernama rainlendar.ini di dalam folder tersebut. Rainlendar kemudiannya akan menyimpan semua Setting, Events, dan Task di dalam folder tersebut suapaya anda boleh membawanya ke mana jua.

http://sembangkomputer.com/rainlendar-lite-kalendar-kecil-lagi-bergaya/

cara nak auto save dalam microsoft word

Anda sedang bertungkus-lums menaip pada lewat malam untuk menyudahkan assignment. Jam sudah menunjukkan pukul 4 pagi, empat jam lagi sebelum assignment harus diletakkan di atas meja pensyarah. Kalau hantar lambat, potong markah. Sudah 15 muka surat berjaya anda siapkan. Tinggal kesimpulan sahaja yang harus dimasukkan. Anda baru hendak menarik nafas lega, tiba-tiba…

Tup. Bekalan Eletrik terputus.

Huhu. Mesti anda rasa macam nak nangis. Perkara yang lebih teruk pernah terjadi kepada saya, di mana saya secara tak sengaja tertekan butang NO pada message box “Dou you want to save the document?”. Akibatnya segala kerja yang saya telah buat hilang begitu sahaja.

Adakah Microsoft Word mempunyai fungsi AutoSave? Jawapannya tidak. Microsoft Word mempunyai fungsi AutoRevocer, tetapi ianya berbeza. AutoRevocer tidak akan save fail anda secara automatik.

Jika anda inginkan fungsi AutoSave, anda boleh download add-in SaveReminder dari laman web Graham Mayor.

Setelah download fail tersebut, Copy fail SaveReminder.dot ke dalam startup folder bagi Word. Di manakah startup folder ini? Untuk mengetahuinya, buka Word dan klik pada menu >Tools > Options > File Locations > Startup

Setelah anda copy fail SaveReminder.dot ke dalam startup folder, tutup Microsoft Word dan buka kembali. Di sini anda boleh membuat tetapan untuk SaveReminder.

http://sembangkomputer.com/cara-nak-auto-save-dalam-microsoft-word/#more-109

500 juta guna Facebook

2010/07/23

SAN FRANCISCO: Jumlah pengguna Facebook mencapai 500 juta, semalam dan ini bermakna seorang daripada setiap 14 orang di bumi ini sudah mendaftar di perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian itu.
“Hingga hari ini, 500 juta penduduk dunia aktif menggunakan Facebook untuk menghubungi kenalan mereka,” kata pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam laman blognya. “Ini usaha anda semua yang membantu menyebarkan Facebook kepada dunia,” katanya lagi.


Bagi meraikan kejayaan Facebook, syarikat dari California itu memberi peluang pengguna menceritakan kisah bagaimana Facebook dapat membantu menjadikan hidup mereka lebih menarik.


Contohnya, Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen yang menggunakan Facebook untuk berkomunkasi dengan rakyat ketika beliau menjadi Perdana Menteri Denmark dan seorang wanita warga Amerika Syarikat yang turut menggunakan khidmat Facebook ketika melawan penyakit barah payu dara.


“Misi kami adalah membantu orang ramai di seluruh dunia saling berhubung,” kata Zuckerberg.


“Saya tidak pernah menyangka Facebook dapat membantu orang ramai dalam pelbagai cara ketika memulakan perkhidmatan ini enam tahun lalu,” tambahnya lagi.


Menurut undian baru-baru ini, pengaruh Facebook ke atas warga Amerika makin meningkat dan kebanyakan wanita memeriksa laman Facebook mereka terlebih dulu sebaik bangun tidur. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/500jutagunaFacebook/Article

Thursday, July 22, 2010

Pelajar di pedalaman Sarawak terima bantuan 1MDB

2010/07/22

MIRI: Seramai 100 pelajar sekolah yang kurang bernasib baik, masing-masing 50 orang di kawasan penempatan di Long Banga dan Bekenu, hari ini menerima bantuan kewangan daripada 1Malaysia Development Berhad, sebuah syarikat milik penuh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sendiri menyampaikan bantuan bernilai RM450 bagi setiap pelajar sekolah rendah setahun dan RM600 bagi setiap pelajar sekolah menengah setahun, apabila beliau melawat kedua-dua kawasan penempatan itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, 1MDB berkata ia adalah kumpulan kedua pelajar yang mendapat manfaat daripada projek itu melalui program tanggungjawab sosial (CSR) yang mensasarkan pelajar sekolah menengah dan rendah di kawasan pedalaman Sarawak.
Kumpulan pertama penerima itu membabitkan 20 pelajar dari Kanowit yang menerima bantuan dari Perdana Menteri pada Februari tahun ini.

Najib yang juga pengerusi lembaga pemegang amanah 1MDB juga menyampaikan sumbangan syarikat sebanyak RM200,000 bagi membina dua unit "Rumah Arau" atau rumah kediaman sementara bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Tegageng di Subis dan SK Kuala Kebulu di Sebauh.

Konsep rumah itu menyediakan tempat tinggal sementara bagi ibu-ibu dan pelajar prasekolah yang tinggal agak jauh dari sekolah.

Rumah Arau seperti sebuah rumah panjang dengan "tanju" (beranda terbuka) dan "ruai" (ruang tamu bersama) dengan penghuni semua bilik boleh beristirehat bersama.
Penghuni kemudahan ini boleh menikmati bekalan elektrik 14 jam setiap hari selain sebuah bilik mandi dan tandas yang dikongsi bersama.

Dua rumah Arau yang pertama adalah bagi SK Nanga Encheremin di Kapit dan SK Lusong Laku di Belaga, yang telah disiapkan pada Jun tahun ini. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian Online

Keputusan Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri

Syabas dan tahniah kepada anak-anak Malaysia dari negeri Sarawak yang berjaya memenangi Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri.

A. Kategori Sekolah Rendah

Mohd Akram bin Asri, SK Niup, Kota Samarahan, Tempat Ketiga.

B. Kategori Sekolah Menengah

Claverance anak Juma, SMK Pending, Kuching, Hadiah Saguhati.

Semak Keputusan PTK Jun 2010

Calon-calon PTK Jun 2010 boleh menyemak keputusan peperiksaan mulai 22 Julai 2010 melalui SMS dengan menaip PTK No. K/P dan hantar ke 36363 atau dengan menaip PTK RESULT No. K/P dan hantar ke 15888 atau secara on-line di www.mpm.edu.my

Pertandingan Petangue Triple Terbuka Sri Aman 2010 Piala YB Datuk Francis





Perkara : Pertandingan Petangue Triple Terbuka Sri Aman 2010 Piala YB Datuk Francis Harden Hollis
Anjuran : Persatuan Petanque Sri Aman & KRT Taman Sing Sing
Tarikh : 31 Julai - 01 Ogos 2010
Tempat : Gelanggang Petanque SK Agama Sri Aman
Masa : 0800 pagi - 0630 petang

Tarikh tutup penyertaan : 29 Julai 2010

* Terbuka kepada semua peminat petanque seluruh Sarawak, Brunei dan Sabah.

Maklumat lanjut hubungi : Muhd. Fuad Augustine bin Abdullah - 0198650202

Tuesday, July 20, 2010

Pengetua Korea Selatan lawat Malaysia

ARKIB : 19/07/2010

Pengetua Korea Selatan lawat Malaysia


Sebahagian daripada ahli rombongan pengetua sekolah dari Korea Selatan bersama Zuariah Yusoff (lima dari kanan) dan pelajar-pelajar SMK SS17 di Subang Jaya, baru-baru ini.


SUBANG JAYA 18 Julai - Seramai 29 pengetua dan timbalan pengetua dari sekolah-sekolah di Korea Selatan mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan SS17, Subang Jaya (SMK SS17) baru-baru ini dalam usaha merapatkan hubungan antara kedua-dua buah negara di samping bertukar-tukar pandangan untuk memantapkan lagi sistem pendidikan masing-masing. Rombongan berkenaan ditaja Kementerian Pelajaran Korea yang bertujuan melihat sendiri sistem pendidikan di negara ini.

Ketua rombongan, Park Jin Soo berkata, lawatan yang diiringi dua pegawai Kementerian Pelajaran Korea Selatan itu turut berkunjung ke sekolah-sekolah lain yang terpilih.

"Semua pengetua dan timbalan masing-masing berpeluang meninjau sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang dipilih sambil bertukar-tukar fikiran dan maklumat dengan guru serta pengetua sekolah yang dikunjungi,'' katanya ketika ditemui.

Kunjungan mereka ke SMK SS17, Subang Jaya itu dikendalikan sendiri pelajar-pelajar prauniversiti sekolah itu.

Rombongan berkenaan disajikan dengan tayangan video tentang SMK SS17, persembahan tarian pelbagai kaum, permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban.

Mereka juga diberi kesempatan melawat kawasan persekitaran sekolah termasuk Pendidikan Kelas Khas.

Jin Soo berkata, kunjungan itu dapat mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan di samping mempelajari budaya dan adat resam penduduk di negara ini.

Ketua Penyelia Kementerian Pelajaran, Daerah Gyeonggi Korea Selatan, Yong Ki Kim berkata, peserta rombongan itu amat gembira dapat melihat perpaduan yang dipamerkan pelajar SMK SS17 yang memakai pakaian tradisional pelbagai kaum.

Beliau berkata, pelajar di sekolah itu kelihatan sangat mesra, berbudi bahasa, berdikari dan bijak menguruskan sendiri kedatangan rombongannya.

"Saya amat tertarik melihat pelajar India memakai ceongsam, pakaian tradisional kaum Cina, manakala pelajar Cina memakai baju kurung atau kebaya", katanya.

Beliau berkata, rombongannya kagum dengan pelajar di sekolah ini yang boleh menguasai lebih daripada dua bahasa walaupun negara ini memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

"Hanya kebelakangan ini Korea Selatan mula giat mempelajari bahasa Inggeris," katanya dalam bahasa Korea yang diterjemahkan oleh juru bahasa rombongan itu.

Sementara itu, Pengetua SMK SS17, Zuariah Yusoff berkata, beliau amat gembira menerima kunjungan itu kerana dapat menjalin hubungan dengan golongan pendidik Korea Selatan dan secara tidak langsung dapat bertukar-tukar fikiran.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

ASG Ke-2: Tahniah atlet Malaysia

ARKIB : 19/07/2010

ASG Ke-2: Tahniah atlet Malaysia


KEJOHANAN Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi penanda aras kepada kejayaan penganjuran dan kemampuan atlet negara.


KEJOHANAN Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) Ke-2 melabuhkan tirainya pada hari ini dan Malaysia berjaya menjadi tuan rumah yang baik - sekali gus berjaya menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya sambutan kejohanan itu mesti setaraf dengan Sukan Komanwel pada 1998.

Lebih manis, Malaysia muncul juara keseluruhan dan sekali gus dinobatkan juara padang dan balapan sekolah ASEAN setelah menunggu selama 25 tahun.

Satu pengajaran yang boleh diraih daripada ASG ialah kita perlu mengambil kesempatan supaya sukan ini menjadi penanda aras kepada pencapaian atlet remaja bagi program pemupukan bakat.

Aspek penganjuran juga sangat penting, dan saya terfikir kalau penganjuran dan pengurusan atlet dilakukan sendiri oleh pelajar pengurusan sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) supaya mereka turut mahir mengurus acara sukan. Manalah tahu ada yang bakal menjadi ketua delegasi junior pada satu hari nanti.

Tambahan pula, sejajar dengan misi Muhyiddin bahawa sukan ialah perniagaan yang bernilai berbilion-bilion ringgit, maka aspek pengacaraan perlu menjadi salah satu agenda penting pembangunan atlet selain cuba meraih sebanyak mungkin emas, perak dan gangsa.

Kita boleh mengambil contoh daripada pengacaraan berstrategik Amerika Syarikat (AS) pada 1994 dalam penganjuran bola sepak Piala Dunia. Sehingga mereka mencatat rekod penonton dan kedatangan pelancong paling ramai walaupun bola sepak bukanlah sukan utama di negara itu.

"Bukan setakat itu sahaja kisah pencapaiannya, malah sekali gus negara itu menyasarkan tempoh 25 tahun untuk menjadi kuasa bola sepak dunia.

Kalau pelajar yang jiwa, mindanya dan masa depannya sudah pasrah kepada bidang sukan maka bermakna kita telah benar-benar berjaya melahirkan atlet yang 360 darjah berjaya dalam sukan.

Saya kira ASG Ke-2 ini ialah titik tolak kepada satu minda baru bahawa penganjuran sukan sebenarnya boleh membentuk generasi yang baik, mendatangkan keuntungan dan sudah tentu bagus dalam penjenamaan negara di persada dunia.

Penganugerahan yang melayakkan AS menjadi hos bola sepak Piala Dunia sebenarnya telah menyelamatkan persekutuan sukan bola sepak di negara itu daripada bankrap sekitar awal 80-an. Sejak tarikh itu, AS mengkaji semula peranan sukan bola sepak sebagai industri yang cukup besar.

Memang memalukan akibat ketiadaan kewangan sehingga pasukan bola sepak mereka hanya berlatih di padang hotel bersebelahan hotel di Lapangan Terbang JFK - sehinggalah ada campur tangan penajaan.

Banyak faktor kepada kejayaan itu. Antaranya mereka berjaya meremajakan sukan tersebut.

Pada 1989, cuma 3,000 menonton pasukan AS membenamkan Trinidad dan Tobago dalam kelayakan ke Piala Dunia. Walau bagaimanapun, pada 4 Julai 1994, seramai 84,177 penonton membanjiri Stadium Stanford di California, menyaksikan perlawanan AS menentang Brazil, dengan kekalahan tipis 1-0, sementara 13.6 juta lagi menonton perlawanan di kaca televisyen!

Memang betul, sukan ialah satu perniagaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Kesatuan guru setuju mansuh UPSR, PMR

ARKIB : 20/07/2010

Kesatuan guru setuju mansuh UPSR, PMR

PUTRAJAYA 19 Julai – Kesatuan-kesatuan guru bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada perbincangan Meja Bulat pertama di sini hari ini.

Bagaimanapun, pemansuhan itu bersyarat dengan menggantikan kedua-dua peperiksaan awam tersebut dengan ujian penilaian lain untuk mengukur tahap pencapaian pelajar.

Perbincangan Meja Bulat yang bermula pukul 2 petang dan berakhir pukul 5.30 petang itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan disertai kesatuan-kesatuan guru, wakil-wakil institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil-wakil guru.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd. Arsad berkata, fungsi sebenar UPSR dan PMR kurang jelas kerana ia berasaskan penilaian kognitif melibatkan penilaian intelek semata-mata.

“PMR dan UPSR boleh diertikan sebagai penilaian yang hanya menggunakan pensil dan kertas sahaja kerana tidak melibatkan bentuk penilaian yang meluas,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng pula berkata, pihaknya sebelum ini memang menyatakan pendirian mereka menyokong cadangan pemansuhan PMR dan UPSR.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Kopi Tahi Musang difatwa halal oleh MUI

Kopi Tahi Musang difatwa halal oleh MUI

JAKARTA 20 Julai - Kopi Luwak atau Kopi Tahi Musang, kopi termahal di dunia dari Indonesia, difatwa halal oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan syarat biji kopi berkenaan telah dibersihkan daripada kotoran.

"Kopi Luwak dihukumkan mutanajis, ertinya terkena najis. Kopi Luwak dinyatakan halal setelah melalui proses pembersihan. Meminum Kopi Luwak dihalalkan, kemudian mengeluar, menjual beli, meminum Kopi Luwak, hukumnya boleh," kata Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI Ma'ruf Amin di sini hari ini.

Kopi Luwak adalah sejenis kopi yang diproses dengan fermentasi secara semula jadi dalam pencernaan haiwan luwak, binatang yang sejenis dengan musang yang tinggal di pepohonan.

Biji kopi yang masih berkulit, ditelan kemudian sisanya yang berupa biji kopi dengan kulit dalam kopi, keluar bersama kotorannya. Sebelum diolah, biji kopi yang telah keluar tadi dipisahkan dari kotoran luwak secara manual.

MUI mengeluarkan fatwa tersebut berikutan banyak pertanyaan dan keluhan umat Islam mengenai perkara itu, dan berharap dengan adanya fatwa berkenaan, hukum mengenai pengambilan Kopi Luwak menjadi lebih jelas.

Sementara itu, setiausaha Suruhanjaya Fatwa MUI, Aminuddin Yakub berkata, MUI telah melakukan kajian dan mendapati haiwan luwak hanya makan kulit luar buah kopi dan menyisakan kulit dalam buah tersebut.

"Dan kalau ditanam, biji kopi itu boleh tumbuh. Dengan demikian, itu bukan najis, melainkan mutanajis," katanya.

Mutanajis berbeza dengan najis kerana ia suatu benda yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam, seperti daging babi, namun mutanajis adalah keadaan apabila sesuatu benda terkena najis, ia dapat dikatakan halal jika najis itu dibersihkan.

Kopi Luwak sangat masyhur di kalangan penggemar kopi di Indonesia serta di peringkat antarabangsa kerana memiliki cita rasa unik, hasil daripada proses pembuatan yang "aneh". Harganya yang mahal juga turut menjadi penarik kepada para penikmat kopi.

Di Amerika Syarikat, Kopi Luwak dikenal sebagai kopi kotoran kucing atau "cat-poo coffee" dan dijual dengan harga AS$190 untuk 500 gram.

Kopi tersebut juga didakwa dikategorikan sebagai langka atau jarang ditemui kerana setiap tahun, hanya 250 kilogram dihasilkan.

Di pasaran antarabangsa, harganya berkisar antara AS$$100 hingga AS$350 sekilogram. - BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_24.htm

Rumah arau di pedalaman

Rumah arau di pedalaman


Baweh Igong (kanan) bersama anak-anaknya terpaksa tinggal dalam keadaan daif di rumah arau yang telah usang. Beliau sekeluarga bakal ditempatkan di rumah arau baru.


KAPIT 20 Julai –Merarau dalam bahasa Iban maknanya makan tengah hari. Namun tidak dapat dipastikan apakah makna rumah arau kerana ada yang memberi maksud ia adalah rumah untuk berehat.

Namun sebagai pengetahuan umum, konsep rumah arau ini telah lama wujud di Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman dan dahulunya dikenali dengan nama panggilan rumah langkau iaitu pondok kecil.

Ia dibina sebagai rumah pertengahan yang terletak berhampiran sekolah dan dijadikan tempat perlindungan sementara bagi kanak-kanak prasekolah serta ibu mereka yang tinggal jauh dari pedalaman.

Kebanyakan rumah arau ini tidak begitu sempurna dan keadaannya amat menyedihkan, namun fungsinya amat besar dalam sektor pendidikan negara bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

Oleh itu, rumah arau mula mendapat perhatian Kerajaan Pusat dan baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek perintis bagi pembinaan dan membaik pulih 13 rumah arau di pedalaman Sarawak.

Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menyumbangkan cek bernilai RM100,000 bagi projek membaik pulih rumah arau di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin di Kapit dan di SK Lusong Laku di Belaga.

Hasilnya, pada 12 Julai lalu, rumah arau di SK Nanga Encheremin, Kapit telah siap sepenuhnya dan sedia diduduki. Ia merupakan projek perintis dan yang pertama di Malaysia.

Guru Besar SK Nanga Encheremin, S.L. Jee berkata, ia merupakan rumah arau pertama yang sempurna di bahagian Kapit dan juga di Sarawak, sumbangan Najib semasa lawatannya di Kanowit baru-baru ini.

“Rumah arau ini dikhususkan untuk kaum ibu. Kebanyakan kaum ibu yang menginap di rumah arau ini berasal dari rumah panjang yang jauh dari sekolah.

“Oleh itu, mereka memerlukan kediaman berhampiran sekolah untuk menjaga anak-anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

SK Nanga Encheremin terletak kira-kira 20 minit dari Kapit dengan menaiki bot laju dan ia merupakan sekolah pedalaman.

Walaupun sekolah itu mempunyai asrama, tetapi ia hanya untuk murid-murid darjah satu hingga enam, manakala murid prasekolah menginap di rumah arau bersama ibu mereka.

Terdapat 25 murid prasekolah di SK Encheremin, tetapi tidak semua menginap di rumah arau kecuali mereka yang menetap jauh dari sekolah tersebut.

Jee berkata, populariti rumah arau di situ bermula pada 2007 apabila Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, Allahyarham Datuk Razali Ismail melawat sekolah tersebut.

“Dalam lawatan tersebut, Allahyarham bertanya mengenai sebuah pondok kecil di atas bukit yang didiami kaum ibu terletak tidak jauh dari bangunan prasekolah dan mencadangkan supaya ia (rumah arau) dibaiki dengan sempurna,” katanya.

Dan pada 12 Julai, melalui tanggungjawab sosial korporat Yayasan 1MDB, rumah arau yang sempurna direalisasikan bakal menempatkan 14 keluarga. Rumah arau ini mempunyai empat bilik, ruang tamu, bilik air dan dapur.

Ia jauh berbeza daripada rumah arau yang asal yang merupakan sebuah pondok, tanpa bilik mahupun tandas.

Sehubungan itu, Jee meminta ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke prasekolah memandangkan kerajaan telah menyediakan rumah arau yang lebih sempurna untuk mereka.

Bagi Ganggung, 46, rumah arau yang disediakan oleh kerajaan memberi makna yang besar kepada dirinya memandangkan rumah panjang yang didiaminya terletak lebih kurang lima jam menaiki bot dari SK Nanga Encheremin.

“Saya jarang balik ke rumah panjang, sebulan sekali barulah pulang. Kalau mahu pulang memerlukan dua hingga tiga gelen petrol. satu gelen petrol berharga RM10,” katanya.

Ganggung yang mempunyai lima orang anak kini menjaga anak bongsunya yang belajar di prasekolah.

Dia mengakui memang mahu anak-anaknya bersekolah namun kerana ketiadaan infrastruktur yang sempurna dan kos yang tinggi menyebabkan ada ibu bapa tidak mampu menghantar anak ke sekolah.

Baweh Igong, 31, yang juga menghantar anak ke prasekolah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat kebajikan mereka.

Dia menyedari pentingnya ilmu pelajaran tetapi seperti Ganggung, masalah kewangan dan faktor geografi menyebabkan sukar menghantar anak ke sekolah.

Sementara itu, Pengarah Tanggungjawab Sosial Korporat 1MDB, Dennis See Thuan Buan berkata, rumah arau yang baru bukan sahaja selesa, tetapi ia dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_25.htm

Perbincangan Meja Bulat cenderung mansuh UPSR, PMR

GENTING HIGHLANDS 20 Julai - Perbincangan Meja Bulat pertama berkaitan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilihat cenderung kepada langkah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan akan meneliti hasil perbincangan itu dengan lebih mendalam sebelum keputusan akhir diumumkan nanti.

Menurut beliau, perbincangan Meja Bulat kedua akan diadakan minggu depan dan kedua-dua input daripada perbincangan itu bakal dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ogos ini.

"Penetapan kepada isu ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia melibatkan keputusan utama terhadap pendidikan negara. Justeru, kita akan teliti pandangan semua pihak.

"Jika dimansuhkan, ia akan membabitkan kepada alternatif bagi menggantikan peperiksaan sedia ada.

"Hasil daripada keputusan Meja Bulat itu akan dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Ogos nanti,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-17 2010, di Institut Aminuddin Baki (IAB), dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keputusan kesatuan-kesatuan guru yang bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada perbincangan Meja Bulat pertama yang berlangsung di Putrajaya.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm

Monday, July 19, 2010

KPM nadi pembangunan modal insan - Simoi

18 July, 2010


Caption: TAHNIAH...Simoi (kiri) menyampaikan sijil kepada Daniel Subuh George (kanan) sambil disaksikan oleh Walter (tengah) pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah merupakan nadi kepada pembangunan modal insan dalam negara ini demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Katanya KPM telah menyumbang banyak peranan penting terhadap aspek pembangunan negara dengan memberikan pendidikan secara holistik yang sewajarnya kepada semua penduduk dalam negara ini.

“Memandangkan cabaran dalam bidang pendidikan adalah amat besar maka wajarlah bagi semua pihak khasnya warga pendidik untuk bersikap aur dengan tebing ketika melaksanakan tugas masing-masing selepas ini,” katanya.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmiskan Majlis Jasamu Dikenang bersempena dengan Sambutan Hari Guru Daerah Sri Aman anjuran ADUN N.23 Lingga bersama Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga mahu para guru menguasai sepenuhnya penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat atau ICT demi menaikkan lagi prestasi pembelajaran mereka dari masa ke semasa.

“Anda (warga pendidik) perlu berada selangkah ke hadapan berbanding para pelajar berhubung penggunaan teknologi ICT ini. Dengan ini para guru akan lebih mudah mendidik pelajar masing-masing dengan pelbagai ilmu terkini yang diperoleh dari internet pada masa akan datang,” katanya.

Teknologi ICT sekiranya digunakan dengan betul katanya akan dapat mewujudkan golongan modal insan berkualiti kelas pertama dalam memacu pembangunan negeri ini menjelang tahun 2020 kelak.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Shamshuddin, Walikota Sri Aman, Piau anak Ingot, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai dan warga pendidik dari sekolah sekitar Sri Aman.

Simoi pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Tabung Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dan RM5,000 kepada Pesta Persatuan Sukan & Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Sri Aman.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman merangkap bekas guru iaitu Haji Mostapa Salleh telah diumumkan sebagai Tokoh Guru Sri Aman 2010 yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM500 hasil sumbangan peribadi daripada Simoi.

Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti persembahan hiburan, penyampaian Anugerah Hari Guru, penyampaian sijil penghargaan, cenderamata kepada guru-guru bersara, cabutan tiket bertuah, penyampaian replika cek dan suara emas.
sumber : http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/kpm-nadi-pembangunan-modal-insan-simoi.html

RM70 juta untuk Lingga, Simoi

16 July, 2010


Caption: PACU PENDIDIKAN...Pembinaan blok baru SK Gran Stumbin bakal mengubah wajah pendidikan di kawasan Lingga selepas ini.

SRI AMAN, Jumaat (16 Julai) – Berita baik untuk penduduk daerah kecil Lingga. Kerajaan telah meluluskan peruntukan bernilai lebih daripada RM70 juta untuk membina jalan raya berturap dari kawasan Sri Aman hingga ke Lingga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri ketika dihubungi memberitahu projek pembinaan jalan raya berturap ini akan mencakupi jalan raya sepanjang 70 kilometer yang menghubungkan kedua-dua kawasan ini.

“Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Ia dijangka bermula sebaik sahaja kerja pembinaan bangunan blok baru Sekolah Kebangsaan (SK) Gran Stumbin siap dibina pada tahun ini.

“Kita menjangkakan bahawa projek pembinaan jalan raya berturap bernilai RM70 juta akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap menjelang tahun 2012. Oleh itu penduduk Lingga diminta bersabar untuk menanti pembinaan projek berkenaan selepas ini,” katanya.

Selain itu Simoi juga meminta penduduk di kawasan Lingga untuk terus menyokong BN pada pilihan raya akan datang demi memastikan kesinambungan projek pembangunan di kawasan DUN Lingga pada masa akan datang.

Penduduk kawasan Lingga katanya tidak harus bertindak ‘curang’ dengan bertindak menyokong pembangkang selepas ini walaupun Barisan Nasional (BN) telah memperuntuk jutaan ringgit untuk tujuan pembangunan di situ.

“Contohnya projek pembinaan blok baru SK Gran Stumbin yang menelan belanja RM10 juta ini menunjukkan bahawa kerajaan komited menaiktaraf kemudahan pendidikan di negara ini.

“Lingga akan berubah wajah di masa akan datang. Justeru sokongan padu penduduk untuk menjayakan projek ini amat diperlukan bagi mentranformasikan pembangunan kawasan Lingga selepas ini,” katanya.


http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/rm70-juta-untuk-lingga-simoi.html

121 murid join Program Kecemerlangan UPSR DUN Simanggang

18 July, 2010


Caption: PEWARIS NEGARA...Antara murid-murid yang mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang di SK Kem Pakit bermula 15 hingga 17 Julai lalu.

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Seramai 121 orang murid dari sembilan buah sekolah rendah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang telah mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman.

Sembilan buah sekolah yang mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang bermula dari 15 Julai hingga 17 Julai ini ialah SK Kem Pakit, SK Abang Aing, SK Nangga Klassen, SK Saint Luke, SK Sri Aman, SK Melugu, SK Temudok Kem, SK Saint Lawrence dan SK Batu Lintang.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu bahawa program ini bertujuan meningkatkan motivasi dikalangan murid-murid bagi membolehkan mereka mencapai sasaran dalam peperiksaan UPSR tahun ini.

“Program ini juga bertujuan untuk membolehkan pihak sekolah mencapai sasaran sebanyak 87.88 peratus dengan enam orang mendapat keputusan 6A menerusi peperiksaan UPSR tahun ini.

“Murid-murid menerusi program ini juga secara tidak langsung akan mendapat pendedahan yang luas mengenai teknik-teknik menjawab soalan UPSR dengan penuh berkualiti pada ujian terbabit,” katanya.

Justeru pihak penganjur berharap agar kesemua 121 orang murid berkenaan dapat memanfaatkan sepenuhnya masa ujian UPSR dengan penuh berkualiti demi mencapai sasaran berkenaan selepas ini.

Terdahulu kesemua 121 orang murid menerusi program ini telah menghadiri ceramah Matematik 1 dan ceramah Matematik 2 yang dikendalikan oleh Zoshi Salam manakala Saleena Mohd Sukor pula mengendalikan ceramah Bahasa Malaysia pada hari pertama perlaksanaan program berkenaan.

Ceramah Bahasa Inggeris 1 dan Bahasa Inggeris 2 pada hari kedua perlaksanaan program ini dikendalikan oleh Winston Rangga anak Lai manakala ceramah Sains pula dikendalikan oleh Enttin Lambat. Nasir Len telah menyampaikan ceramah motivasi kepada murid pada hari terakhir perlaksanaan program berkenaan.

Majlis penutupan Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, SK Kem Pakit, Sri Aman ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/121-murid-join-program-kecemerlangan.html

Badan Korporat diseru bantu laksana program pendidikan

18 July, 2010

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Badan korporat khasnya pihak perbankan dalam bandar Sri Aman diseru untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama ketika melaksanakan tanggungjawab sosial mereka selepas ini kata Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin.

Ini kerana badan korporat terutama sekali pihak perbankan menurut beliau mempunyai sumber bagi membantu kerajaan dalam mempertingkatkan usaha kecemerlangan akademik dalam kawasan Sri Aman.

“Kita amat memerlukan sumbangan badan korporat dari sekitar Bandar Sri Aman bagi memacu tahap kecemerlangan pendidikan dalam kawasan ini selain dari usaha daripada pihak kerajaan selama ini.

“Pembabitan pihak perbankan dalam usaha ini amatlah dialu-alukan. Justeru saya berharap agar lebih badan korporat tampil bagi membantu kerajaan menjayakan program pendidikan yang dilaksanakan di kawasan Sri Aman di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman hari ini.

Selain itu Bujang juga menggesa pihak ibubapa pelajar untuk memberi sepenuh kerjasama terhadap pihak sekolah bagi menjayakan perlaksanaan salah satu cabang perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Salah satu cabang NKRA ini ialah pendidikan. Kerajaan memberi banyak fokus dalam bidang pendidikan di negara kita sebagai satu langkah untuk melahirkan modal insan berkualiti di masa akan datang.

“Oleh itu adalah amat penting bagi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda paling utama dalam aktiviti tahunan mereka selepas ini,” katanya.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis yang seterusnya mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 berjumlah RM5,000 kepada PIBG SK Kem Pakit dan RM12,000 untuk menaja program terbabit pada tahun akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Leftenan Kolonel Zawawie Adam, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok Sem dan Guru Besar SK Kem Pakit, Mohammad Nasir Narawi.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/badan-korporat-diseru-bantu-laksana.html

Kerajaan Pusat bukti komitmen bangunkan pendidikan - Harden

18 July, 2010

Kerajaan Pusat bukti komitmen bangunkan pendidikan - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden (tengah) sedang menyampaikan sijil kepada seorang penceramah program sambil disaksikan oleh (dari kiri) Limok, Bujang, Nasir dan Zawawie pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Kerajaan Persekutuan terus membuktikan komitmen yang tinggi terhadap usaha bagi mengubahsuai dan menaiktaraf semua sekolah dalam negara khususnya di Sabah dan Sarawak menerusi Bajet 2010 sebelum ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata ia amat penting bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan demi faedah rakyat selaras dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan.

“Dalam konteks ini Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dan berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan lagi tahap pencapaian dan kualiti pendidikan di Sarawak.

“Justeru Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan terhadap apa jua perancangan serta komitmen yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga menyeru warga pendidik dalam kawasan Sri Aman untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan oleh kerajaan agar kualiti pendidikan dapat dipertingkat ke tahap lebih tinggi selepas ini.

“Sasaran kerajaan ialah untuk melahirkan golongan modal insan yang berkualiti. Kegigihan para warga pendidik untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung akan dapat mentransformasikan pembangunan negeri Sarawak di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Leftenan Kolonel Zawawie Adam, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok Sem dan Guru Besar SK Kem Pakit, Mohammad Nasir Narawi.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 bernilai RM5,000 kepada PIBG SK Kem Pakit manakala RM12,000 lagi untuk menaja Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang pada tahun akan datang.

Seramai 121 orang pelajar dari sembilan buah sekolah dari kawasan DUN Simanggang mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang bermula 15 Julai hingga 17 Julai.

sumber:http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/kerajaan-pusat-bukti-komitmen-bangunkan.html