Sunday, July 11, 2010

Biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang tanpa mengira kaum: Najib

Oleh Nazura Ngah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2010/07/11

Biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang tanpa mengira kaum: Najib

KUALA LUMPUR: Semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengikuti pengajian ijazah pertama di dalam dan di luar negara, tanpa mengira kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan perkara itu, berkata tindakan berkenaan adalah sejarah negara yang tidak pernah dilaksanakan.

"Semua pelajar tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lainlain kaum yang mendapat 9A+ diberikan biasiswa JPA sama ada untuk belajar di luar mahupun di dalam negara.

"Ini menunjukkan Gagasan 1Malaysia bukan hanya slogan sematamata, sebaliknya dipraktikkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berucap di hadapan 3,000 perwakilan dan pemerhati MIC serta pemimpin parti komponen BN pada Perhimpunan Agung MIC Ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Empat hari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan biasiswa JPA untuk pelajar cemerlang lepasan SPM melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara, memberi fokus kepada bidang kritikal dan pemilihan berdasarkan empat kriteria.
Bidang kritikal itu termasuk perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial, manakala empat kriteria berkenaan meliputi pencapaian akademik, pembabitan dalam kegiatan koku-rikulum, sosio ekonomi atau latar belakang keluarga dan prestasi temu duga.

Tahun ini, kerajaan menyediakan 1,750 biasiswa bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN), manakala Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) menyediakan 100 penajaan bagi mengikuti pengajian di empat universiti penyelidikan, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Di samping itu, 1,900 penajaan ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan dan kampus cawangan terpilih, seperti Universiti Nottingham dan Universiti Monash dalam bidang kritikal dan strategik.

Najib juga berkata, 2,304 pelajar India atau 92.2 peratus daripada 2,499 yang layak mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditawarkan tempat.

Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada 4,541 pelajar India yang memohon untuk mengikuti pengajian di IPTA.

Beliau berkata, peluang kemasukan ke IPTA yang terbuka luas untuk pelajar India membuktikan BN membantu masyarakat itu mendapatkan kemudahan pendidikan.

“Kita bersama-sama membantu masyarakat India untuk maju dan ini adalah janji kita, janji BN, kita akan transformasi negara ini dan kita ke arah itu.

“Kita akan menjadikan Malaysia sebuah negara membangun, kita mempunyai kebijaksanaan, perancangan dan strategi. Kita perlu meyakinkan rakyat ini adalah masa depan. Saya mengajak masyarakat India untuk turut serta dalam perjalanan transformasi negara,” katanya.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Semua9A_layak/Article/

No comments:

Post a Comment