D/A PEJABAT PELAJARAN DAERAH SRI AMAN TINGKAT 2, WISMA PERSEKUTUAN JALAN ABANG AING 95000 SRI AMAN SARAWAK
Friday, August 6, 2010
Saturday, July 31, 2010
20,000 saksi kibar Jalur Gemilang
20,000 saksi kibar Jalur Gemilang
KANGAR 31 Julai - Kira-kira 20,000 penonton dijangka menyaksikan pelbagai persembahan yang akan dijayakan kira-kira 3,000 peserta sempena pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan di Stadium Utama di sini malam esok.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata persembahan sempena pelancaran gilang-gemilang itu akan tetap diteruskan walaupun hujan.
Pelancaran Kibar Jalur Gemilang itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serentak dengan bermulanya sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi".
Katanya, beliau mengakui cabaran persiapannya amat berat kerana ini kali pertama ia dilakukan secara besar-besaran kerana sebelum ini program kibar Jalur Gemilang dibuat secara kecil-kecilan.
Raptai persembahannya telah disaksikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Khamis lalu.
Norliza berkata, apa yang dilakukan pada persiapan akhir itu ialah memastikan segalanya berjalan lancar esok apabila acara bermula pada pukul 8 malam.
Selain acara padang termasuk perarakan Jalur Gemilang gergasi, turut diadakan ialah persembahan aksi hebat Wira Merah, kumpulan akrobatik motosikal yang menjadi kebanggaan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).
Antara aksi hebat yang bakal dipertontonkan ialah menunggang motosikal sambil memetik gitar, menampi padi sambil menaiki motosikal bergerak dan pelbagai aksi yang mendebarkan.
Perarakan 20 jenis kereta nasional keluaran Proton juga akan diadakan selain acara mendirikan simbol 1Malaysia gergasi di tengah padang oleh kumpulan peserta persembahan.
Antara tetamu yang dijangka hadir pada pelancaran itu termasuk Rais dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu.
Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja akhir di Stadium Utama itu termasuk pemasangan permaidani merah dan hiasan bunga sedang giat dilakukan.
Sambutan Bulan Kemerdekaan itu yang bermula dengan pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Perlis akan berakhir dengan dengan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September ini manakala sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung 31 Ogos ini di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur. — BERNAMA
Sambutan Hari Pahlawan catat sejarah baru
KUALA LUMPUR 31 Julai - Sambutan Hari Pahlawan peringkat kebangsaan tahun ini mencatat sejarah apabila buat kali pertama tidak disambut di Tugu Negara sebaliknya diadakan di Dataran Merdeka di sini.
Upacara mengalungkan bunga di tugu peringatan yang menjadi acara tetap sebelum ini, juga tidak lagi diadakan pada sambutan hari ini.
Ini selaras nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan supaya sambutan Hari Pahlawan tidak diadakan di kawasan mempunyai patung manusia manakala upacara mengalungkan bunga dimansuhkan kerana kedua-duanya bertentangan dengan Islam.
Pun begitu, perubahan lokasi tidak sedikit pun menjejaskan sambutan Hari Pahlawan tahun ini apabila ia masih berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan dan bersemangat.
Ini terbukti dengan kehadiran ramai bekas anggota tentera dan polis yang sebelum ini berjuang mempertahankan kedaulatan negara selain turut menarik minat puluhan diplomat asing.
Pada tahun ini, 806 anggota pasukan keselamatan dan bekas anggota keselamatan mengambil bahagian dalam upacara perbarisan yang menjadi sebahagian daripada atur cara wajib sambutan.
Sambutan berkenaan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan semua panglima cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga hadir.
Dalam sambutan pada hari ini, acara baru ialah persembahan pantomin bertajuk 'Pertempuran Bukit Candu'.
Persembahan pantomin itu bertujuan mengimbau keberanian Leftenan Adnan Saidi mempertahankan nusa dan bangsa daripada serangan tentera Jepun sehingga ke titisan darah terakhir.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormat utama oleh Tuanku Mizan sebelum tiupan paluan akhir bagi membolehkan Jalur Gemilang diturunkan diikuti bacaan sajak pahlawan.
Sejurus pantomin 'Pertempuran Bukit Candu' selesai, paluan fajar sekali lagi ditiupkan, kali ini bertujuan menaikkan Jalur Gemilang.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan titah Tuanku Mizan dan serentak dengan itu laungan 'Daulat Tuanku' tiga kali sebelum sambutan diakhiri dengan bacaan doa.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm