Showing posts with label upsr. Show all posts
Showing posts with label upsr. Show all posts

Saturday, July 31, 2010

Serah pada TPM Ogos

Serah pada TPM Ogos

PUTRAJAYA 31 Julai - Hasil perbincangan dua meja bulat mengenai cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lalu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum hujung Ogos ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini, semua hasil perbincangan tersebut, termasuk laporan akhbar serta e-mel daripada orang ramai mengenai cadangan pemansuhan itu sedang diperhalusi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

''Kita tengah menyediakan laporan untuk Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) dan sekiranya ia berjalan lancar, laporan itu akan siap sebelum akhir bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-37 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima tajaan bagi pertandingan itu sebanyak RM165,400 daripada Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat).

Sementara itu, mengenai pertandingan tersebut, Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) menjuarai bahas Bahasa Inggeris manakala bagi Bahasa Melayu pula dimenangi Sekolah Datuk Abdul Razak (Seremban, Negeri Sembilan).

Masing-masing membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM4,000.

Pembahas Terbaik bagi Bahasa Inggeris dimenangi oleh Muhammad Aiman Sabeh Mohd. Shahib dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Ipoh, Perak) manakala Adzlan Qushaimi Jamaludin dari Sekolah Datuk Abdul Razak pula sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Melayu.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Monday, July 26, 2010

Semua sekolah perlu sedia bilik pengasingan

BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh negara perlu menyediakan bilik pengasingan yang sesuai dan mencukupi bagi menempatkan pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), minggu depan jika mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan Influenza A (H1N1).

Sambil mengalu-alukan keputusan Kementerian Pelajaran mewajibkan pengambilan suhu badan pelajar, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata keputusan itu juga amat wajar dan perlu disokong sepenuhnya.

“Langkah ini memang tepat bagi mengelak penularan H1N1 di kalangan pelajar. Sepatutnya perkara ini sudah lama dilakukan untuk memastikan keadaan kesihatan pelajar sekolah ini lebih terjamin. Kami harap pihak sekolah mempunyai kemudahan mencukupi, terutama bilik yang sesuai untuk pengasingan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, selain menyediakan bilik sesuai dan mencukupi, keselamatan guru bertugas juga perlu diambil kira selain pemantauan berterusan dilakukan dan bukan hanya pada musim menjelang peperiksaan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata ibu bapa tidak perlu risau keselamatan anak mereka kerana semua langkah perlu sudah diambil bagi memastikan pelajar yang terbabit dalam UPSR tidak terganggu dengan pelaksanaan ujian suhu badan itu.

Katanya, perkara itu dipersetujui secara bersama oleh semua kesatuan guru selepas mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom kelmarin.

“Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM4.5 juta bagi membekalkan topeng penutup mulut serta hidung dan termometer untuk kegunaan guru pengawas peperiksaan seluruh negara,” katanya.

Selain itu, semua sekolah juga mampu menyediakan bilik pengasingan mencukupi.

“Satu unit kecemasan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan juga akan ditempatkan di semua sekolah. Garis panduan bagi pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR ini akan diguna untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia nanti,” katanya.

Mohamad Sabri berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengarahkan pelajar yang tidak terbabit dengan peperiksaan UPSR dibenarkan pulang, jika ada hasil ujian suhu badan dijalankan ke atas pelajar UPSR mempunyai tanda-tanda H1N1.

Motivasi UPSR Bahasa Arab 2010

Tuesday, July 20, 2010

Kesatuan guru setuju mansuh UPSR, PMR

ARKIB : 20/07/2010

Kesatuan guru setuju mansuh UPSR, PMR

PUTRAJAYA 19 Julai – Kesatuan-kesatuan guru bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada perbincangan Meja Bulat pertama di sini hari ini.

Bagaimanapun, pemansuhan itu bersyarat dengan menggantikan kedua-dua peperiksaan awam tersebut dengan ujian penilaian lain untuk mengukur tahap pencapaian pelajar.

Perbincangan Meja Bulat yang bermula pukul 2 petang dan berakhir pukul 5.30 petang itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan disertai kesatuan-kesatuan guru, wakil-wakil institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil-wakil guru.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd. Arsad berkata, fungsi sebenar UPSR dan PMR kurang jelas kerana ia berasaskan penilaian kognitif melibatkan penilaian intelek semata-mata.

“PMR dan UPSR boleh diertikan sebagai penilaian yang hanya menggunakan pensil dan kertas sahaja kerana tidak melibatkan bentuk penilaian yang meluas,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng pula berkata, pihaknya sebelum ini memang menyatakan pendirian mereka menyokong cadangan pemansuhan PMR dan UPSR.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Perbincangan Meja Bulat cenderung mansuh UPSR, PMR

GENTING HIGHLANDS 20 Julai - Perbincangan Meja Bulat pertama berkaitan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilihat cenderung kepada langkah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan akan meneliti hasil perbincangan itu dengan lebih mendalam sebelum keputusan akhir diumumkan nanti.

Menurut beliau, perbincangan Meja Bulat kedua akan diadakan minggu depan dan kedua-dua input daripada perbincangan itu bakal dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ogos ini.

"Penetapan kepada isu ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia melibatkan keputusan utama terhadap pendidikan negara. Justeru, kita akan teliti pandangan semua pihak.

"Jika dimansuhkan, ia akan membabitkan kepada alternatif bagi menggantikan peperiksaan sedia ada.

"Hasil daripada keputusan Meja Bulat itu akan dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Ogos nanti,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-17 2010, di Institut Aminuddin Baki (IAB), dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keputusan kesatuan-kesatuan guru yang bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada perbincangan Meja Bulat pertama yang berlangsung di Putrajaya.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm

Monday, July 19, 2010

121 murid join Program Kecemerlangan UPSR DUN Simanggang

18 July, 2010


Caption: PEWARIS NEGARA...Antara murid-murid yang mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang di SK Kem Pakit bermula 15 hingga 17 Julai lalu.

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Seramai 121 orang murid dari sembilan buah sekolah rendah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang telah mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman.

Sembilan buah sekolah yang mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang bermula dari 15 Julai hingga 17 Julai ini ialah SK Kem Pakit, SK Abang Aing, SK Nangga Klassen, SK Saint Luke, SK Sri Aman, SK Melugu, SK Temudok Kem, SK Saint Lawrence dan SK Batu Lintang.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu bahawa program ini bertujuan meningkatkan motivasi dikalangan murid-murid bagi membolehkan mereka mencapai sasaran dalam peperiksaan UPSR tahun ini.

“Program ini juga bertujuan untuk membolehkan pihak sekolah mencapai sasaran sebanyak 87.88 peratus dengan enam orang mendapat keputusan 6A menerusi peperiksaan UPSR tahun ini.

“Murid-murid menerusi program ini juga secara tidak langsung akan mendapat pendedahan yang luas mengenai teknik-teknik menjawab soalan UPSR dengan penuh berkualiti pada ujian terbabit,” katanya.

Justeru pihak penganjur berharap agar kesemua 121 orang murid berkenaan dapat memanfaatkan sepenuhnya masa ujian UPSR dengan penuh berkualiti demi mencapai sasaran berkenaan selepas ini.

Terdahulu kesemua 121 orang murid menerusi program ini telah menghadiri ceramah Matematik 1 dan ceramah Matematik 2 yang dikendalikan oleh Zoshi Salam manakala Saleena Mohd Sukor pula mengendalikan ceramah Bahasa Malaysia pada hari pertama perlaksanaan program berkenaan.

Ceramah Bahasa Inggeris 1 dan Bahasa Inggeris 2 pada hari kedua perlaksanaan program ini dikendalikan oleh Winston Rangga anak Lai manakala ceramah Sains pula dikendalikan oleh Enttin Lambat. Nasir Len telah menyampaikan ceramah motivasi kepada murid pada hari terakhir perlaksanaan program berkenaan.

Majlis penutupan Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, SK Kem Pakit, Sri Aman ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/121-murid-join-program-kecemerlangan.html

Badan Korporat diseru bantu laksana program pendidikan

18 July, 2010

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Badan korporat khasnya pihak perbankan dalam bandar Sri Aman diseru untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama ketika melaksanakan tanggungjawab sosial mereka selepas ini kata Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin.

Ini kerana badan korporat terutama sekali pihak perbankan menurut beliau mempunyai sumber bagi membantu kerajaan dalam mempertingkatkan usaha kecemerlangan akademik dalam kawasan Sri Aman.

“Kita amat memerlukan sumbangan badan korporat dari sekitar Bandar Sri Aman bagi memacu tahap kecemerlangan pendidikan dalam kawasan ini selain dari usaha daripada pihak kerajaan selama ini.

“Pembabitan pihak perbankan dalam usaha ini amatlah dialu-alukan. Justeru saya berharap agar lebih badan korporat tampil bagi membantu kerajaan menjayakan program pendidikan yang dilaksanakan di kawasan Sri Aman di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman hari ini.

Selain itu Bujang juga menggesa pihak ibubapa pelajar untuk memberi sepenuh kerjasama terhadap pihak sekolah bagi menjayakan perlaksanaan salah satu cabang perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Salah satu cabang NKRA ini ialah pendidikan. Kerajaan memberi banyak fokus dalam bidang pendidikan di negara kita sebagai satu langkah untuk melahirkan modal insan berkualiti di masa akan datang.

“Oleh itu adalah amat penting bagi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda paling utama dalam aktiviti tahunan mereka selepas ini,” katanya.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis yang seterusnya mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 berjumlah RM5,000 kepada PIBG SK Kem Pakit dan RM12,000 untuk menaja program terbabit pada tahun akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Leftenan Kolonel Zawawie Adam, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok Sem dan Guru Besar SK Kem Pakit, Mohammad Nasir Narawi.

http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/badan-korporat-diseru-bantu-laksana.html

Kerajaan Pusat bukti komitmen bangunkan pendidikan - Harden

18 July, 2010

Kerajaan Pusat bukti komitmen bangunkan pendidikan - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden (tengah) sedang menyampaikan sijil kepada seorang penceramah program sambil disaksikan oleh (dari kiri) Limok, Bujang, Nasir dan Zawawie pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Kerajaan Persekutuan terus membuktikan komitmen yang tinggi terhadap usaha bagi mengubahsuai dan menaiktaraf semua sekolah dalam negara khususnya di Sabah dan Sarawak menerusi Bajet 2010 sebelum ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata ia amat penting bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan demi faedah rakyat selaras dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan.

“Dalam konteks ini Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dan berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan lagi tahap pencapaian dan kualiti pendidikan di Sarawak.

“Justeru Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan terhadap apa jua perancangan serta komitmen yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga menyeru warga pendidik dalam kawasan Sri Aman untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan oleh kerajaan agar kualiti pendidikan dapat dipertingkat ke tahap lebih tinggi selepas ini.

“Sasaran kerajaan ialah untuk melahirkan golongan modal insan yang berkualiti. Kegigihan para warga pendidik untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung akan dapat mentransformasikan pembangunan negeri Sarawak di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Leftenan Kolonel Zawawie Adam, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Limok Sem dan Guru Besar SK Kem Pakit, Mohammad Nasir Narawi.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 bernilai RM5,000 kepada PIBG SK Kem Pakit manakala RM12,000 lagi untuk menaja Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang pada tahun akan datang.

Seramai 121 orang pelajar dari sembilan buah sekolah dari kawasan DUN Simanggang mengambil bahagian dalam Program Kecemerlangan UPSR DUN N.27 Simanggang bermula 15 Julai hingga 17 Julai.

sumber:http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/kerajaan-pusat-bukti-komitmen-bangunkan.html