Saturday, July 31, 2010

Bangkai buaya hanyut di wharf Sri Aman

Bangkai buaya hanyut di wharf Sri Aman


Caption: YE YE MATI PUN BOLEH MASUK PAPER...Foto sumbangan United Daily News menunjukkan bangkai buaya yang terapung di Ulu Sungai Batang Lupar sebelum ia dipercayai hanyut ke kawasan jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar awal pagi hari ini.

SRI AMAN, Rabu (28 Julai) – Orang ramai gempar hari ini apabila seekor bangkai buaya ‘katak’ sepanjang 10 kaki panjang dengan lebar 40 sentimeter hanyut ke bawah jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar Sri Aman awal pagi hari ini.

Utusan Sarawak yang bergegas ke kawasan dermaga berkenaan pada 7.40 pagi hari ini mendapati bahawa kawasan sekitar jeti terbabit sedang busuk dipercayai datangnya dari bangkai buaya yang berada di bawah jeti berkenaan.

“Bangkai buaya berkenaan mulanya hanyut di luar kawasan jeti ini setengah jam yang lalu. Bagaimanapun disebabkan oleh faktor arus air hasil kejadian pasang surut maka bangkai berkenaan mungkin telah hanyut di bawah jeti ini.

“Tidak saya bayangkan jika bangkai buaya terus berada di bawah jeti ini. Bau busuk dari bangkai buaya berkenaan mungkin tidak akan menyebabkan orang ramai tidak dapat goyang kaki ketika minum di gerai jeti ini pada waktu petang,” kata seorang penduduk yang mendakwa melihat bangkai buaya berkenaan sebelum itu.

Disebabkan oleh faktor keselamatan kawasan jeti berkenaan, kakitangan Utusan Sarawak tidak berupaya untuk mengambil gambar bangkai buaya terbabit yang tidak diketahui punca kematiannya sebelum itu.

Bagaimanapun Utusan Sarawak yang melakukan siasatan lanjut berhubung perkara ini yakin bahawa bangkai buaya berkenaan telah hanyut dari kawasan hulu Sungai Batang Lupar di Engkilili ketika berlaku proses pasang surut di sungai berkenaan.

Akhbar United Daily News pada tarikh 28 Julai melaporkan seorang pekebun di Engkilili menemui bangkai seekor buaya katak sepanjang 10 kaki yang terapung di sungai berdekatan kawasan kebunnya kelmarin.

Laporan terbabit turut memberitahu bahawa buaya berkenaan mungkin telah mati semenjak tiga atau empat hari yang lepas dan dihanyutkan oleh faktor air pasang surut di Sungai Batang Lupar sehingga ke kawasan jeti terbabit bermula dari malam tadi hingga awal pagi hari ini.

Buaya berkenaan juga dipercayai pernah menyerang seorang penduduk di Engkilili ketika melakukan urusan perikanan di sungai berkenaan namun berjaya menyelamat diri dengan berpaut pada tunggul pokok di sungai terbabit.
http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/bangkai-buaya-hanyut-di-wharf-sri-aman.html

20,000 saksi kibar Jalur Gemilang

20,000 saksi kibar Jalur Gemilang

KANGAR 31 Julai - Kira-kira 20,000 penonton dijangka menyaksikan pelbagai persembahan yang akan dijayakan kira-kira 3,000 peserta sempena pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan di Stadium Utama di sini malam esok.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata persembahan sempena pelancaran gilang-gemilang itu akan tetap diteruskan walaupun hujan.

Pelancaran Kibar Jalur Gemilang itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serentak dengan bermulanya sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi".

Katanya, beliau mengakui cabaran persiapannya amat berat kerana ini kali pertama ia dilakukan secara besar-besaran kerana sebelum ini program kibar Jalur Gemilang dibuat secara kecil-kecilan.

Raptai persembahannya telah disaksikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Khamis lalu.

Norliza berkata, apa yang dilakukan pada persiapan akhir itu ialah memastikan segalanya berjalan lancar esok apabila acara bermula pada pukul 8 malam.

Selain acara padang termasuk perarakan Jalur Gemilang gergasi, turut diadakan ialah persembahan aksi hebat Wira Merah, kumpulan akrobatik motosikal yang menjadi kebanggaan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).

Antara aksi hebat yang bakal dipertontonkan ialah menunggang motosikal sambil memetik gitar, menampi padi sambil menaiki motosikal bergerak dan pelbagai aksi yang mendebarkan.

Perarakan 20 jenis kereta nasional keluaran Proton juga akan diadakan selain acara mendirikan simbol 1Malaysia gergasi di tengah padang oleh kumpulan peserta persembahan.

Antara tetamu yang dijangka hadir pada pelancaran itu termasuk Rais dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja akhir di Stadium Utama itu termasuk pemasangan permaidani merah dan hiasan bunga sedang giat dilakukan.

Sambutan Bulan Kemerdekaan itu yang bermula dengan pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Perlis akan berakhir dengan dengan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September ini manakala sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung 31 Ogos ini di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur. — BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_02.htm

Serah pada TPM Ogos

Serah pada TPM Ogos

PUTRAJAYA 31 Julai - Hasil perbincangan dua meja bulat mengenai cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lalu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum hujung Ogos ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini, semua hasil perbincangan tersebut, termasuk laporan akhbar serta e-mel daripada orang ramai mengenai cadangan pemansuhan itu sedang diperhalusi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

''Kita tengah menyediakan laporan untuk Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) dan sekiranya ia berjalan lancar, laporan itu akan siap sebelum akhir bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-37 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima tajaan bagi pertandingan itu sebanyak RM165,400 daripada Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat).

Sementara itu, mengenai pertandingan tersebut, Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) menjuarai bahas Bahasa Inggeris manakala bagi Bahasa Melayu pula dimenangi Sekolah Datuk Abdul Razak (Seremban, Negeri Sembilan).

Masing-masing membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM4,000.

Pembahas Terbaik bagi Bahasa Inggeris dimenangi oleh Muhammad Aiman Sabeh Mohd. Shahib dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Ipoh, Perak) manakala Adzlan Qushaimi Jamaludin dari Sekolah Datuk Abdul Razak pula sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Melayu.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Jaga gigi anak

Jaga gigi anak

KEBANYAKAN ibu bapa memandang remeh penjagaan gigi anak-anak. Justeru, tidak hairan apabila gigi susu yang sepatutnya mula longgar pada usia enam tahun mengalami kerosakan dan terpaksa dicabut seawal usia tiga tahun.

Pembentukan gigi bayi sebenarnya bermula di peringkat janin. Oleh itu, pengambilan makanan ibu terutama kalsium ketika hamil sangat penting dalam mempengaruhi pembentukan gigi dan janin itu sendiri.

Mitos setiap kali hamil ibu akan kehilangan sebatang gigi atau gigi reput tidak benar dan boleh diatasi dengan pengambilan makanan yang betul.

Ketika proses menyusu,, selepas bayi selesai menyusu, lapkan batas gusinya menggunakan tuala basah dengan lembut.

Ini bagi mengelakkan sisa susu tertinggal dalam mulut yang kemudian akan berlendir dan mengembang.

Gigi susu tumbuh pada usia enam bulan. Set gigi susu lengkap hanya akan muncul pada usia dua tahun setengah.

Ketika usia kanak-kanak mencecah tiga tahun, ibu bapa boleh memperkenalkannya dengan berus dan ubat gigi kanak-kanak.

Perlu disedari di bawah setiap batang gigi susu ada gigi kekal yang akan tumbuh mengikut masa yang sepatutnya.

Sebab itu penjagaan gigi susu penting supaya tidak rosak kerana akan menyukarkan gigi kekal untuk tumbuh dengan baik.

Apabila gigi kekal tumbuh tanpa panduan gigi susu, ia tidak akan tumbuh dengan kedudukan yang baik.

Ia antara punca kedudukan gigi yang lintang pukang dan tidak cantik serta memerlukan bantuan pendakap gigi.

Oleh itu, untuk mendapatkan gigi yang cantik, penjagaan dari peringkat awal adalah penting.

Ajar anak-anak menggosok gigi mengikut jadual setiap pagi dan malam. Pastikan ibu bapa juga menjaga gigi dan jika boleh lakukannya bersama anak mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Kopi baik atau buruk?

Kopi baik atau buruk?

Adakah kopi baik atau buruk untuk kesihatan? Hakikatnya ia terpulang kepada pilihan kita.

Menambah tenaga

Kopi dikatakan berguna untuk menambah tenaga dan membuatkan orang terjaga daripada ngantuk. Kandungan utama dalam kopi adalah kafein, yang berfungsi sebagai perangsang susunan saraf pusat (otak), sistem pernafasan, serta sistem pembuluh darah dan jantung. Sebab itu tidak hairan setiap kali kita minum kopi dalam jumlah yang sederhana (1 - 3 cawan), tubuh kita terasa segar, daya berfikir lebih cepat, tidak mudah penat dan mengantuk.

Ubat sakit kepala

Kafein sering kali dijadikan salah satu bahan pelengkap ubat sakit kepala. Ini kerana kafein memiliki kemampuan menyempitkan pembuluh darah ke otak sehingga pelebaran pembuluh darah di daerah otak yang merupakan penyebab sakit kepala berkurangan

Mengurangkan lemak

Lebih menarik, kafein dikatakan dapat menyusutkan lemak. Secara psikologi, tubuh badan yang gemuk kurang mampu membakar lemak ketika bersukan berbanding mereka yang bertubuh normal. Hasilnya, badan akan membakar karbohidrat sebagai sumber tenaga, sehingga kadar gula darah cepat merosot. Sebab itulah orang gemuk rasa lapar berlebihan setelah bersukan atau bersenam dan akhirnya cenderung makan lebih banyak. Dengan minum tiga cawan kopi, tubuh mereka akan bertindak balas untuk membakar lebih banyak lemak. Kafein membantu memecah lemak menjadi sumber tenaga sedia guna. Perkara ini mendorong badan lebih banyak memanfaatkan lemak, sehingga pembakaran karbohidrat menjadi lebih terbatas. Yang perlu diperhatikan kandungan gula dalam kopi terkawal.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

Generasi baru telefon bimbit

Generasi baru telefon bimbit


Model yang ditawarkan pasti mengujakan.


SEBAGAI sebuah syarikat pengeluar telefon bimbit tempatan yang kini semakin dikenali, Spice CSL International Sdn. Bhd. (CSL) terus melangkah kehadapan dengan menghasilkan model terbaru.

Kini CSL mempertaruhkan tiga lagi keluaran terbaru mereka iaitu Spice MI300, sebuah telefon bimbit android, Bluberry Knight W8000 untuk aplikasi 3G dan W600.

Bagi Spice MI300 didatangkan bersama pemproses sehingga 600 Mhz dan chip set daripada Qualcomm selain turut dilengkapi aplikasi 3G Quadband.

Memiliki skrin sesentuh HVGA seluas 3.2 inci sekali gus dapat memastikan ia memberi kepuasan sehingga ke tahap maksimum kepada peminatnya.

Antara kelebihan lain adalah ia juga memiliki kamera lima mega piksel, ROM 512 MB, RAM, 256 MB, WiFi, Pengesan G dan E-kompas.

Selain itu sistem androidnya juga telah diperbaharui daripada versi v1.6 kepada v2.1 dan hampir 50,000 aplikasi boleh dimuat turun daripada pasaran android.

MI300 turut dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) bersama perisian Map King, perisian anti kecurian, CSL Fun Club, BlueBerry Messenger, unit stor BlueBerry dan aplikasi tambahan berunsurkan Islamik seperti Penggera Azan, Kompas Kiblat dan Al-Quran.

Sementara itu bagi model 3G iaitu BlueBerry Knight W8000 turut dimuatkan bersama cip set Qualcom dan seperti biasa aplikasi 3G, skrin paparan LCD QVGA seluas 2.4 inci.

W8000 turut menggunakan papan kekunci QWERTY seterusnya boleh melayari Mini opera, Facebook, Twitter segala proses disokong oleh kad SD mikro.

Namun CSL turut memperkenalkan aplikasi yang unik iaitu pad trek, modem HSDPA, kamera tiga mega piksel, panggilan video, BlueBerry Messenger, BlueBerry Store, BlueBerry Mail.

Tidak ketinggalan aplikasi berteraskan Islamik iaitu penggera Azan, Kompas Kiblat, HadHari dan Al-Quran.

Seterusnya model W600 pula tetap sama, memiliki cipset Qualcomm, aplikasi 3G, paparan skrin LCD 2.4 inci, kamera tiga mega piksel, mini opera, Facebook dan Twitter selain turut disokong oleh kad SD mikro.

Antara kelebihan W600 yang lain adalah ia memiliki televisyen analog, modem HSDPA, memiliki ketiga-tiga kelebihan BlueBerry iaitu, mesej, mail dan stor selain aplikasi Islamik sama seperti W8000.

Ketiga-tiga model terbaru telefon bimbit tersebut kini sudah berada dipasaran untuk jualan dan bagi yang berminat anda boleh mendapatkannya di cawangan CSL yang berdekatan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_02.htm

Penjawat awam ‘curi tulang’ dirakam

PUTRAJAYA 31 Julai - Awas! penjawat awam yang cuba 'curi tulang' dengan menghabiskan masa di kafetaria atau pusat membeli-belah pada waktu pejabat di sini.

Ini kerana gelagat anda akan dirakamkan menerusi kamera kompak oleh anggota dua skuad pemantau dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Skuad yang ditubuhkan itu akan berkeliaran di lokasi-lokasi yang dikenal pasti antaranya Taman Warisan Pertanian dan Alamanda untuk merakam perbuatan seumpama itu.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan di JPA, Datuk Dr. Mohd Azhar Yahaya memberitahu, pemantauan itu dilakukan ekoran aduan orang ramai terhadap sikap segelintir pegawai awam yang tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di pusat membeli-belah semasa tempoh tersebut.

Waktu rehat bagi sektor awam adalah antara 1 hingga 2 petang sahaja tetapi kelonggaran diberikan kepada penjawat awam yang mempunyai urusan rasmi pada waktu itu.

''Pegawai awam yang ditangkap semasa operasi dilaksanakan akan diambil maklumat peribadi mereka dan dipanjangkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk diambil tindakan sewajarnya.

''Ketidakpatuhan waktu bekerja bertentangan dengan Perintah Am 5, Perintah-Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974.

''Juga, menyalahi Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta Tatakelakuan Pegawai Awam di bawah Peraturan 4," katanya dalam surat Edaran JPA 2020 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, susulan dari tindakan itu, ketua jabatan diminta menguatkuasakan peraturan mengenai pematuhan waktu masuk bekerja pada sebelah pagi dan tengah hari.

''Mereka juga perlu membuat pemantauan secara berterusan di kantin, kafeteria dan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pegawai di bawah seliaan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Korporat JPA, Nik Noraini Nik Ya berkata, meskipun waktu anjal bekerja diperuntukkan kepada penjawat awam namun ia bukan faktor atau alasan untuk duduk minum di kafetaria semasa waktu pejabat.

''Kita ada tiga waktu anjal bekerja iaitu antara 7.30 pagi hingga 4.30 petang, 8 pagi - 5 petang dan 8.30 pagi - 5.30 petang namun kakitangan tidak boleh sewenang-wenang keluar untuk sarapan pada pukul 9 pagi walaupun anda masuk 7.30 pagi.

''Bagaimanapun di sini, pengecualian tertentu bergantung kepada situasi misalnya jika penjawat awam itu dari kalangan guru. Dengan masa bekerjanya antara 7 pagi hingga 1 petang, takkan skuad berkenaan mahu menahannya atas kesalahan itu jika ternampak dia di Alamanda sekitar pukul 3 petang," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm