Sunday, July 11, 2010

16 resolusi

Resolusi itu termasuk tingkatkan kualiti guru dalam kurikulum, psikologi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran bersama badan profesional lain sepakat membuat 16 resolusi penambahan bagi memantapkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dalam mewujudkan sistem pendidikan prasekolah setanding dengan kualiti antarabangsa.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimudin Mohd Dom berkata resolusi baru itu termasuk meningkatkan kualiti guru berkaitan kurikulum dan psikologi kanak-kanak melalui bengkel, pemantauan daripada pihak atasan serta jaringan kerja dalam mewujudkan persatuan guru prasekolah.
“Apa yang termaktub dalam KSPK perlu dilaksanakan dengan sepenuhnya agar matlamat yang kita kongsi bersama dapat dicapai.

“Ini juga adalah selaras dengan salah satu teras yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat sekolah,” katanya dalam ucapan pada penutup Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan yang diadakan bermula 29 Jun, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya Dr Khair Mohd Yusof.
Alimudin berkata sistem pendidikan prasekolah dan kurikulum prasekolah telah mendapat kepujian dan pengiktirafan daripada pel¬bagai pihak pada peringkat nasional termasuk antara-bangsa.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan tenaga pengajar berani mengorak langkah dan bersifat inovatif dan sentiasa mendahului ke arah pembinaan modal insan yang akan membawa negara ke mercu kejayaan.
Katanya pendidikan sentiasa menjadi agenda terpenting dalam arus pembangunan dan pembentukan masa hadapan negara dan bangsa di seluruh negara, malah kurikulum perlu direncanakan dengan teliti selaras dengan pembangunan negara dan dunia keseluruhannya.

“Kurikulum ini dibangunkan seiring dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu mengambil kira aspek keperluan ketuhanan, keperluan diri murid, keperluan masyarakat dan keperluan ilmu pengetahuan itu sendiri.

“Justeru itu, unsur-unsur pengetahuan kemahiran dan nilai perlu digabungkan agar wujud kesepaduan daripada intelek, rohani, emosi dan jasmani,” ujarnya.

Beliau berharap pendidikan prasekolah seharusnya berkeupayaan untuk menyediakan asas yang kukuh dan utuh bagi pembinaan asas pembelajaran seterusnya dalam hidup dan menjadi penggerak kepada pendidikan seumur hidup. — Bernama

No comments:

Post a Comment