Rumah arau di pedalaman
|
|
KAPIT 20 Julai –Merarau dalam bahasa Iban maknanya makan tengah hari. Namun tidak dapat dipastikan apakah makna rumah arau kerana ada yang memberi maksud ia adalah rumah untuk berehat.
Namun sebagai pengetahuan umum, konsep rumah arau ini telah lama wujud di Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman dan dahulunya dikenali dengan nama panggilan rumah langkau iaitu pondok kecil.
Ia dibina sebagai rumah pertengahan yang terletak berhampiran sekolah dan dijadikan tempat perlindungan sementara bagi kanak-kanak prasekolah serta ibu mereka yang tinggal jauh dari pedalaman.
Kebanyakan rumah arau ini tidak begitu sempurna dan keadaannya amat menyedihkan, namun fungsinya amat besar dalam sektor pendidikan negara bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.
Oleh itu, rumah arau mula mendapat perhatian Kerajaan Pusat dan baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek perintis bagi pembinaan dan membaik pulih 13 rumah arau di pedalaman Sarawak.
Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menyumbangkan cek bernilai RM100,000 bagi projek membaik pulih rumah arau di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin di Kapit dan di SK Lusong Laku di Belaga.
Hasilnya, pada 12 Julai lalu, rumah arau di SK Nanga Encheremin, Kapit telah siap sepenuhnya dan sedia diduduki. Ia merupakan projek perintis dan yang pertama di Malaysia.
Guru Besar SK Nanga Encheremin, S.L. Jee berkata, ia merupakan rumah arau pertama yang sempurna di bahagian Kapit dan juga di Sarawak, sumbangan Najib semasa lawatannya di Kanowit baru-baru ini.
“Rumah arau ini dikhususkan untuk kaum ibu. Kebanyakan kaum ibu yang menginap di rumah arau ini berasal dari rumah panjang yang jauh dari sekolah.
“Oleh itu, mereka memerlukan kediaman berhampiran sekolah untuk menjaga anak-anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
SK Nanga Encheremin terletak kira-kira 20 minit dari Kapit dengan menaiki bot laju dan ia merupakan sekolah pedalaman.
Walaupun sekolah itu mempunyai asrama, tetapi ia hanya untuk murid-murid darjah satu hingga enam, manakala murid prasekolah menginap di rumah arau bersama ibu mereka.
Terdapat 25 murid prasekolah di SK Encheremin, tetapi tidak semua menginap di rumah arau kecuali mereka yang menetap jauh dari sekolah tersebut.
Jee berkata, populariti rumah arau di situ bermula pada 2007 apabila Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, Allahyarham Datuk Razali Ismail melawat sekolah tersebut.
“Dalam lawatan tersebut, Allahyarham bertanya mengenai sebuah pondok kecil di atas bukit yang didiami kaum ibu terletak tidak jauh dari bangunan prasekolah dan mencadangkan supaya ia (rumah arau) dibaiki dengan sempurna,” katanya.
Dan pada 12 Julai, melalui tanggungjawab sosial korporat Yayasan 1MDB, rumah arau yang sempurna direalisasikan bakal menempatkan 14 keluarga. Rumah arau ini mempunyai empat bilik, ruang tamu, bilik air dan dapur.
Ia jauh berbeza daripada rumah arau yang asal yang merupakan sebuah pondok, tanpa bilik mahupun tandas.
Sehubungan itu, Jee meminta ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke prasekolah memandangkan kerajaan telah menyediakan rumah arau yang lebih sempurna untuk mereka.
Bagi Ganggung, 46, rumah arau yang disediakan oleh kerajaan memberi makna yang besar kepada dirinya memandangkan rumah panjang yang didiaminya terletak lebih kurang lima jam menaiki bot dari SK Nanga Encheremin.
“Saya jarang balik ke rumah panjang, sebulan sekali barulah pulang. Kalau mahu pulang memerlukan dua hingga tiga gelen petrol. satu gelen petrol berharga RM10,” katanya.
Ganggung yang mempunyai lima orang anak kini menjaga anak bongsunya yang belajar di prasekolah.
Dia mengakui memang mahu anak-anaknya bersekolah namun kerana ketiadaan infrastruktur yang sempurna dan kos yang tinggi menyebabkan ada ibu bapa tidak mampu menghantar anak ke sekolah.
Baweh Igong, 31, yang juga menghantar anak ke prasekolah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat kebajikan mereka.
Dia menyedari pentingnya ilmu pelajaran tetapi seperti Ganggung, masalah kewangan dan faktor geografi menyebabkan sukar menghantar anak ke sekolah.
Sementara itu, Pengarah Tanggungjawab Sosial Korporat 1MDB, Dennis See Thuan Buan berkata, rumah arau yang baru bukan sahaja selesa, tetapi ia dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.
sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_25.htm
No comments:
Post a Comment