Monday, July 26, 2010

Pusat Sukan Satelit di sekolah

Pusat Sukan Satelit di sekolah

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan isyarat bagus kepada pasukan Terengganu yang muncul juara keseluruhan pada Majlis Penutup Kejohanan Formula Future Kebangsaan 2010 di Taman Botani, Putrajaya, semalam. – Utusan/ HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 25 Julai – Kerajaan akan membina Pusat Sukan Satelit (PSS) di sekolah-sekolah di setiap negeri dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dalam usaha mencungkil bakat-bakat sukan bermula dari peringkat sekolah kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PSS juga berperanan untuk mendedahkan atlet dan jurulatih tentang perkembangan sains sukan, pemakanan dan perubatan serta penyelidikan sukan bagi membantu melahirkan ahli sukan bertaraf dunia.

“Kewujudan PSS penting untuk memberikan sokongan kepada atlet dan jurulatih di peringkat akar umbi.

“Justeru, kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan akan dipertingkatkan untuk menyediakan platform menggalakkan penglibatan para pelajar di dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup dan menyampaikan hadiah Kejohanan Formula Future Kebangsaan 2010 di Taman Botani di sini hari ini.

Kejohanan yang berlangsung di Tasik Putrajaya sejak 22 Julai lalu membabitkan penyertaan 130 orang pilot berumur daripada tujuh hingga 18 tahun berentap bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Formula Future 2010 di Carr Mills, St. Helens, Merseyside, England pada 13 hingga 15 Ogos ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Sukan Air Bermotor Malaysia (Pesuam), Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee dan Pengarah Urusan H20 Sports, Datuk Yahya A. Jalil.

Muhyiddin yang memberikan kata-kata semangat kepada 10 pilot yang layak ke kejohanan dunia itu berharap pasukan negara akan dapat pulang sebagai juara sebagaimana yang telah dilakukan selama empat kali sebelum ini.

Beliau yang kagum dengan kejayaan pilot-pilot Malaysia membawa pulang kejuaraan dunia iaitu pada 2004 di Lisbon, Portugal selain di Portimao, Portugal (2005); Leer, Jerman (2007) dan Revanna, Itali pada 2008.

Katanya, mereka telah membuktikan negara ini tidak ketandusan dalam melahirkan barisan pilot yang bertaraf dunia.

“Sesungguhnya kerjasama pintar di antara sektor kerajaan dan swasta telah membuahkan banyak kejayaan dalam pembangunan sukan negara,” katanya.

Dalam hal ini beliau berkata, kejayaan sukan Formula Future di negara ini hingga dapat mengembangkan sayapnya ke seluruh negara adalah salah satu contoh kerjasama pintar antara sektor kerajaan dan swasta yang perlu dijadikan tauladan oleh badan-badan sukan, sektor swasta dan agensi-agensi kerajaan.

“Melalui perancangan, sistem pelaksanaan dan program pembangunan yang holistik dan sistematik di antara penggerak industri bersama agensi-agensi kerajaan berkenaan, pasti kita akan membuahkan hasil yang membanggakan negara,” katanya.

Sementara itu, pasukan Terengganu muncul juara keseluruhan kejohanan tersebut apabila membolot tempat-tempat utama dalam sebahagian besar acara manouvering dan slalom melibatkan kelas satu hingga lima.

Enam orang pilot dari negeri tersebut terpilih dalam senarai 10 peserta yang akan bertanding di kejohanan dunia pada bulan depan.

Bagi kelas satu ialah Akef Hilmie Mohd. Zambry dan Dzafran Mohd. Noor, masing-masing dari Terengganu manakala kelas dua, Muhammad Zhafree Ammar Mohd. Zambry (Terengganu) dan Hadi Irfan Mohd. Rahaizah (Wilayah Persekutuan).

Kelas tiga diwakili oleh Muhammad Hanif Ramil (Pahang) dan Muhammad Azwar Yahya (Wilayah Persekutuan) manakala kelas empat ialah Nik Daniel Affifudin Nik Kamaruzaman dan Tg. Mohd. Kamal Hishamudin Tg. Mohd. Zainal Abidin Petra, masing-masing dari Terengganu.

Muhammad Faqih Noor Hamzah (Wilayah Persekutuan) dan Muhammad Faidzullah Ramli (Terengganu) mewakili kelas lima.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

No comments:

Post a Comment