Tuesday, July 20, 2010

ASG Ke-2: Tahniah atlet Malaysia

ARKIB : 19/07/2010

ASG Ke-2: Tahniah atlet Malaysia


KEJOHANAN Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi penanda aras kepada kejayaan penganjuran dan kemampuan atlet negara.


KEJOHANAN Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) Ke-2 melabuhkan tirainya pada hari ini dan Malaysia berjaya menjadi tuan rumah yang baik - sekali gus berjaya menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya sambutan kejohanan itu mesti setaraf dengan Sukan Komanwel pada 1998.

Lebih manis, Malaysia muncul juara keseluruhan dan sekali gus dinobatkan juara padang dan balapan sekolah ASEAN setelah menunggu selama 25 tahun.

Satu pengajaran yang boleh diraih daripada ASG ialah kita perlu mengambil kesempatan supaya sukan ini menjadi penanda aras kepada pencapaian atlet remaja bagi program pemupukan bakat.

Aspek penganjuran juga sangat penting, dan saya terfikir kalau penganjuran dan pengurusan atlet dilakukan sendiri oleh pelajar pengurusan sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) supaya mereka turut mahir mengurus acara sukan. Manalah tahu ada yang bakal menjadi ketua delegasi junior pada satu hari nanti.

Tambahan pula, sejajar dengan misi Muhyiddin bahawa sukan ialah perniagaan yang bernilai berbilion-bilion ringgit, maka aspek pengacaraan perlu menjadi salah satu agenda penting pembangunan atlet selain cuba meraih sebanyak mungkin emas, perak dan gangsa.

Kita boleh mengambil contoh daripada pengacaraan berstrategik Amerika Syarikat (AS) pada 1994 dalam penganjuran bola sepak Piala Dunia. Sehingga mereka mencatat rekod penonton dan kedatangan pelancong paling ramai walaupun bola sepak bukanlah sukan utama di negara itu.

"Bukan setakat itu sahaja kisah pencapaiannya, malah sekali gus negara itu menyasarkan tempoh 25 tahun untuk menjadi kuasa bola sepak dunia.

Kalau pelajar yang jiwa, mindanya dan masa depannya sudah pasrah kepada bidang sukan maka bermakna kita telah benar-benar berjaya melahirkan atlet yang 360 darjah berjaya dalam sukan.

Saya kira ASG Ke-2 ini ialah titik tolak kepada satu minda baru bahawa penganjuran sukan sebenarnya boleh membentuk generasi yang baik, mendatangkan keuntungan dan sudah tentu bagus dalam penjenamaan negara di persada dunia.

Penganugerahan yang melayakkan AS menjadi hos bola sepak Piala Dunia sebenarnya telah menyelamatkan persekutuan sukan bola sepak di negara itu daripada bankrap sekitar awal 80-an. Sejak tarikh itu, AS mengkaji semula peranan sukan bola sepak sebagai industri yang cukup besar.

Memang memalukan akibat ketiadaan kewangan sehingga pasukan bola sepak mereka hanya berlatih di padang hotel bersebelahan hotel di Lapangan Terbang JFK - sehinggalah ada campur tangan penajaan.

Banyak faktor kepada kejayaan itu. Antaranya mereka berjaya meremajakan sukan tersebut.

Pada 1989, cuma 3,000 menonton pasukan AS membenamkan Trinidad dan Tobago dalam kelayakan ke Piala Dunia. Walau bagaimanapun, pada 4 Julai 1994, seramai 84,177 penonton membanjiri Stadium Stanford di California, menyaksikan perlawanan AS menentang Brazil, dengan kekalahan tipis 1-0, sementara 13.6 juta lagi menonton perlawanan di kaca televisyen!

Memang betul, sukan ialah satu perniagaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

No comments:

Post a Comment