Monday, July 19, 2010

RM70 juta untuk Lingga, Simoi

16 July, 2010


Caption: PACU PENDIDIKAN...Pembinaan blok baru SK Gran Stumbin bakal mengubah wajah pendidikan di kawasan Lingga selepas ini.

SRI AMAN, Jumaat (16 Julai) – Berita baik untuk penduduk daerah kecil Lingga. Kerajaan telah meluluskan peruntukan bernilai lebih daripada RM70 juta untuk membina jalan raya berturap dari kawasan Sri Aman hingga ke Lingga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri ketika dihubungi memberitahu projek pembinaan jalan raya berturap ini akan mencakupi jalan raya sepanjang 70 kilometer yang menghubungkan kedua-dua kawasan ini.

“Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Ia dijangka bermula sebaik sahaja kerja pembinaan bangunan blok baru Sekolah Kebangsaan (SK) Gran Stumbin siap dibina pada tahun ini.

“Kita menjangkakan bahawa projek pembinaan jalan raya berturap bernilai RM70 juta akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap menjelang tahun 2012. Oleh itu penduduk Lingga diminta bersabar untuk menanti pembinaan projek berkenaan selepas ini,” katanya.

Selain itu Simoi juga meminta penduduk di kawasan Lingga untuk terus menyokong BN pada pilihan raya akan datang demi memastikan kesinambungan projek pembangunan di kawasan DUN Lingga pada masa akan datang.

Penduduk kawasan Lingga katanya tidak harus bertindak ‘curang’ dengan bertindak menyokong pembangkang selepas ini walaupun Barisan Nasional (BN) telah memperuntuk jutaan ringgit untuk tujuan pembangunan di situ.

“Contohnya projek pembinaan blok baru SK Gran Stumbin yang menelan belanja RM10 juta ini menunjukkan bahawa kerajaan komited menaiktaraf kemudahan pendidikan di negara ini.

“Lingga akan berubah wajah di masa akan datang. Justeru sokongan padu penduduk untuk menjayakan projek ini amat diperlukan bagi mentranformasikan pembangunan kawasan Lingga selepas ini,” katanya.


http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/rm70-juta-untuk-lingga-simoi.html

No comments:

Post a Comment