Sunday, July 11, 2010

Meja bulat UPSR, PMR 19 Julai

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/07/06
Rundingan syor pemansuhan babit wakil pendidik, pihak berkepentingan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan rundingan meja bulat pada 19 dan 27 Julai ini, bagi membincangkan cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata sesi perbincangan pertama pada 19 Julai, dikhususkan untuk wakil warga pendidik seperti pegawai kanan kementerian, pengarah jabatan pelajaran negeri (JPN), kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar dan kaunselor sekolah.

Perbincangan meja bulat kedua pada 27 Julai ini pula untuk pihak luar daripada kementerian, termasuk tokoh pendidikan, ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta ahli politik.

Di samping itu, katanya, kementerian akan turut menjemput wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), industri buku, tokoh korporat dan pihak lain yang berminat serta berkepentingan berhubung isu berkenaan.

“Kementerian Pelajaran sentiasa membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia untuk memberi pandangan dan pendapat mengenai cadangan memansuhkan UPSR dan PMR.

“Adalah diharapkan melalui dua perbincangan meja bulat ini, pandangan menyeluruh daripada setiap lapisan masyarakat berkaitan cadangan pemansuhan itu, akan dapat dibina.

“Rumusan perbincangan meja bulat akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran pada awal bulan depan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kementerian Pelajaran akan mencadangkan UPSR dan PMR dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai.

Bagaimanapun, Alimuddin berkata, kementerian akan terus melakukan pemantauan terhadap pandangan orang ramai yang dikemukakan melalui media cetak dan elektronik.

Sumber: http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment