18 July, 2010
SRI AMAN, Sabtu (17 Julai) – Badan korporat khasnya pihak perbankan dalam bandar Sri Aman diseru untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama ketika melaksanakan tanggungjawab sosial mereka selepas ini kata Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Mudin.
Ini kerana badan korporat terutama sekali pihak perbankan  menurut beliau mempunyai sumber bagi membantu kerajaan dalam  mempertingkatkan usaha kecemerlangan akademik dalam kawasan Sri Aman.
“Kita amat  memerlukan sumbangan badan korporat dari sekitar Bandar Sri Aman bagi  memacu tahap kecemerlangan pendidikan dalam kawasan ini selain dari  usaha daripada pihak kerajaan selama ini.
“Pembabitan pihak perbankan dalam usaha ini amatlah  dialu-alukan. Justeru saya berharap agar lebih badan korporat tampil  bagi membantu kerajaan menjayakan program pendidikan yang dilaksanakan  di kawasan Sri Aman di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata  demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program  Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN N.27 Simanggang  di Dewan Perkasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman hari ini.
Selain itu Bujang  juga menggesa pihak ibubapa pelajar untuk memberi sepenuh kerjasama  terhadap pihak sekolah bagi menjayakan perlaksanaan salah satu cabang  perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
“Salah satu cabang  NKRA ini ialah pendidikan. Kerajaan memberi banyak fokus dalam bidang  pendidikan di negara kita sebagai satu langkah untuk melahirkan modal  insan berkualiti di masa akan datang.
“Oleh itu adalah amat penting bagi Persatuan Ibubapa  dan Guru (PIBG) untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda paling utama  dalam aktiviti tahunan mereka selepas ini,” katanya.
Program ini telah  dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak  Hollis yang seterusnya mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 berjumlah  RM5,000 kepada PIBG SK Kem Pakit dan RM12,000 untuk menaja program  terbabit pada tahun akan datang.
http://sriamannews.blogspot.com/2010/07/badan-korporat-diseru-bantu-laksana.html
No comments:
Post a Comment