Saturday, July 17, 2010

Astro Tutor saluran 100 khusus untuk UPSR

ARKIB : 16/07/2010

Astro Tutor saluran 100 khusus untuk UPSR

KUALA LUMPUR 15 Julai – Astro hari ini melancarkan Astro Tutor TV melalui saluran 100 khusus untuk murid-murid yang akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ketua Pendidikan Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, ia diterbitkan bagi membantu persiapan murid mengambil UPSR dan menyasarkan penonton kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.

“Rancangan ini khusus untuk membantu murid sekolah rendah mengulang kaji pelajaran secara holistik.

“Ini termasuk menguasai tajuk yang sukar, motivasi diri, pengurusan masa dan kepentingan menjaga kesihatan menjelang peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata ketika merasmikan saluran baru Astro Tutor TV tersebut di pusat beli-belah Bangsar di sini hari ini.

Putri Yasmin menambah, penyiaran program di Astro Tutor TV mendapat khidmat nasihat daripada guru-guru yang berpengalaman dan mengikut silibus yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

“Setiap kandungan dalam program tersebut direka dengan bantuan guru-guru yang berpengalaman dalam bidang akademik dan motivasi diri.

“Program tersebut juga dibentuk 100 peratus mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh kerajaan supaya kandungannya bersesuaian untuk UPSR,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan dan Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan.

Ditanya tentang perancangan Astro untuk pelajar sekolah menengah yang akan mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Henry berkata, mereka masih mengkaji dan mungkin akan melaksanakannya dalam masa terdekat.

sumber :http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

No comments:

Post a Comment