Saturday, July 17, 2010

Sukan Sekolah-sekolah ASEAN setanding dengan Sukan Komanwel 1998

ARKIB : 12/07/2010

ASG setanding Sukan Komanwel 98

PUTRAJAYA 11 Julai - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selaku tuan rumah Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) kali kedua perlu memastikan ia setanding dengan Sukan Komanwel 1998 dari segi penganjuran dan pencapaian.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, penganjuran Sukan Komanwel 1998 menerima pengiktirafan daripada Commonwealth Games Federation (CGF) sebagai penganjuran acara sukan yang terbaik sehingga sekarang.

"Pencapaian kontinjen Malaysia juga sangat gemilang apabila berjaya menduduki tempat keempat daripada 72 negara yang mengambil bahagian," katanya yang dipetik dari Buletin ASG ke-2, baru-baru ini.

Dalam temasya yang kedua terbesar selepas Sukan Olimpik itu, Malaysia berjaya mengutip 10 pingat emas, 12 perak dan 14 gangsa.

Beliau yang menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan pada waktu itu memberitahu, atlet negara menjalani satu siri latihan yang memakan masa enam tahun sehingga membolehkan mereka bertanding di peringkat tersebut dan mencapai kejayaan cemerlang.

"Melalui penganjuran Sukan Komanwel juga, negara mempunyai kemudahan sukan bertaraf dunia seperti Kompleks Sukan Bukit Jalil, kolam renang dan stadium yang lengkap untuk penganjuran apa juga acara sukan di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Tambah beliau, melalui penganjuran Sukan Komanwel itu, acara sukan yang lain juga lebih mudah dikelolakan dan yang paling penting ialah dapat melahirkan jaguh-jaguh sukan negara.

"Negara tidak boleh dikira sebagai sebuah negara yang maju dalam bidang sukan jika penganjuran sahaja cemerlang namun pencapaian atlet negara tidak memberangsangkan," jelas beliau.

Beliau memberitahu, itu antara pengalaman berguna yang diperolehnya semasa mempengerusikan jawatankuasa penganjuran sukan pada masa itu dengan menggunakan segala aspek pengelolaan Sukan Komanwel.

Mengulas penyertaan dan penganjuran Malaysia dalam ASG kedua dari 12 hingga 21 Julai ini, Muhyiddin berharap agar kontinjen negara berjuang bersungguh-sungguh menaikkan nama negara dan bertanding atas semangat kesukanan yang tinggi. Selain itu mengambil kesempatan dalam meningkatkan hubungan seterusnya membentuk jambatan penghubung antara Malaysia dengan negara-negara Asean.

"Sebagai tuan rumah, kita mengharapkan negara akan mampu membuktikan kecemerlangannya dalam temasya sukan ini," ujarnya.

Sementara itu, mengenai matlamat mewujudkan dasar 1Murid 1Sukan, beliau berkata, ia telah lama terkandung dalam Dasar Pendidikan Negara bagi membangunkan modal insan yang sempurna dan mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam segala bidang secara holistik.

"Kita tidak hanya menumpukan pencapaian dalam bidang akademik sahaja malah kita mahu murid-murid ini mahir dan cemerlang dalam bidang kokurikulum.

"Penekanan diberikan dalam pembangunan sukan kerana 1Murid 1Sukan bertujuan memastikan tiada seorang pun murid yang terkeluar atau tidak terlibat dalam bidang sukan kerana ia mempunyai banyak faedah dari segi markah kredit selain meningkatkan kecergasan dan kesihatan murid-murid untuk cemerlang dalam semua bidang," terangnya.

Tambah beliau, guru yang dipilih untuk membimbing murid-murid dalam bidang sukan ini mestilah mempunyai kelayakan dalam bidang berkenaan serta dilatih, dibimbing serta ditauliahkan dalam jurusan tersebut.

"Kita mahu guru-guru tersebut diberikan latihan kerana dalam perancangannya beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) yang sedia ada akan dijadikan tempat untuk melatih guru-guru sukan.

"Di samping itu, bantuan dan kerjasama daripada badan-badan sukan yang mempunyai jurulatih, kemahiran dan kepakaran boleh didapatkan untuk membantu meningkatkan kemahiran guru sukan di sekolah itu," katanya lagi.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

No comments:

Post a Comment