Sunday, July 11, 2010

seperti tinggal di hotel

‘Kami seperti tinggal di hotel’

TANJUNG MALIM 7 Julai – Pembukaan secara rasmi Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) di Trolak tahun ini, membuka lembaran baru kepada generasi baru Felda untuk meraih kejayaan cemerlang dalam akademik.

Diberi nama Kampus Tun Abdul Razak, rata-rata pelajar kebanyakannya anak peneroka ketika ditemui berbangga maktab itu dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang daripadanya, Nursyahida Shaharuddin, 15, generasi ketiga dari Felda Selancar 4, Rompin, Pahang menyifatkan perasmian MRSMF sebagai lonjakan awal untuk melanjutkan pengajian ke luar negara kelak.

“Saya amat berbangga menjadi perintis pertama MRSMF. Tambahan pula, dengan program International Baccalaureate (IB) dapat merealisasikan cita-cita saya,” katanya.

Anak peneroka Felda Tersang 3, Raub, Mohd. Rizalman Mohd. Pauzi, 14, berkata, pembelajaran di MRSMF amat menyeronokkan dan guru-guru banyak membantu.

Katanya, perbincangan dalam kumpulan bersama pelajar lain dapat membantunya memahami sesuatu subjek dengan mendalam.

MRSMF yang menelan kos RM123 juta menempatkan 1,050 pelajar terdiri daripada 80 peratus anak peneroka dan 20 peratus dari kalangan pelajar lain yang berkelayakan.

Kecanggihan MRSMF turut diakui seorang pelajar tingkatan empat, Syazwan Azham, 16, yang kerap meluangkan masa menyertai aktiviti sukan seperti bola sepak dan tenis.

“MRSMF satu-satunya maktab yang menyediakan kemudahan empat gelanggang skuasy dan tenis di samping padang bola sepak, bola jaring, ragbi dan bola keranjang,” katanya.

Rakannya, Mohd. Ezmir Syazmi Mohd. Hasni, 16, pula menyifatkan dengan kemudahan yang begitu selesa sehingga membuatkan mereka seolah-olah tinggal di hotel.

Katanya, setiap bilik asrama yang menempatkan pelajar masing-masing mempunyai almari sendiri dan amat selesa dengan kipas angin dipasang bagi setiap dua pelajar.

“Jadi tidak timbul isu kami bersesak-sesak di dalam bilik kerana kami menikmati kemudahan bertaraf hotel di sini termasuk penyediaan makanan,” ujarnya.

Ditanya mengenai pergaulan dengan pelajar yang berasal dari Felda, Mohd. Baidiulzaman Taufek, 16, berkata, tiada perbezaan yang wujud sebaliknya masing-masing bergaul rapat antara satu sama lain.

Sementara itu, Nor Wana Azmi, 16, pula berkata, peluang diperolehinya untuk melanjutkan pelajaran ke maktab yang serba moden dan lengkap itu adalah peluang yang sentiasa ditunggu-tunggu.

“Saya amat bersyukur kerana ditawarkan belajar di maktab ini dengan kelengkapan yang serba moden.

“Selain itu, tenaga pengajar juga begitu komited dan dedikasi dalam memberi tunjuk ajar kepada kami dan saya berharap mampu menimba ilmu secukupnya untuk menjadi jurutera berjaya suatu hari nanti,” ujarnya.

Diyanah Amani Radzif, 16, pula berpendapat, kaedah pembelajaran diamalkan di MRSMF ternyata mampu menarik minat pelajar.

“Infrastruktur lengkap dan inisiatif yang digunakan guru di sini terbukti banyak membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dan merangsang minat pelajar untuk berjaya dalam pelajaran,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

No comments:

Post a Comment