Saturday, July 31, 2010

Serah pada TPM Ogos

Serah pada TPM Ogos

PUTRAJAYA 31 Julai - Hasil perbincangan dua meja bulat mengenai cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lalu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum hujung Ogos ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini, semua hasil perbincangan tersebut, termasuk laporan akhbar serta e-mel daripada orang ramai mengenai cadangan pemansuhan itu sedang diperhalusi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

''Kita tengah menyediakan laporan untuk Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) dan sekiranya ia berjalan lancar, laporan itu akan siap sebelum akhir bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-37 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima tajaan bagi pertandingan itu sebanyak RM165,400 daripada Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat).

Sementara itu, mengenai pertandingan tersebut, Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) menjuarai bahas Bahasa Inggeris manakala bagi Bahasa Melayu pula dimenangi Sekolah Datuk Abdul Razak (Seremban, Negeri Sembilan).

Masing-masing membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM4,000.

Pembahas Terbaik bagi Bahasa Inggeris dimenangi oleh Muhammad Aiman Sabeh Mohd. Shahib dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Ipoh, Perak) manakala Adzlan Qushaimi Jamaludin dari Sekolah Datuk Abdul Razak pula sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Melayu.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

No comments:

Post a Comment