KUCHING: Laman web sosial Facebook berpotensi menjadi punca kepada ses¬uatu masalah jika ia disalahgunakan.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata teknologi dicipta manusia lazimnya untuk memenuhi keperluan dan melengkapkan kemudahan kepada manusia sendiri.
“Facebook lazimnya dicipta untuk kebaikan dalam memberi kemudahan kepada manusia dan apabila ia disalahgunakan akan mendatangkan keburukan dan kemudaratan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Justeru, menurut beliau harus ada penekanan terhadap sikap dan disiplin yang baik terhadap masyarakat agar masalah yang berpunca daripada penyalahgunaan laman web sosial seperti Facebook ini dapat dielakkan.
“Dengan itu timbul keperluan dari segi aspek pendidikan, disiplin dan integriti diterapkan dalam diri pengguna agar kemudahan teknologi seperti ini tidak disalahgunakan sebaliknya dimanfaatkan untuk kepentingan bersama,” katanya.
Menurut seorang guru Metua Kure, kalau dinilai dari segi peratusannya memang didapati masalah yang berpunca daripada laman web sosial ini belum di tahap yang membimbangkan tetapi jumlah tersebut boleh meningkat jika ia disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Memang tidak dinafikan laman web sosial ini banyak memberi kebaikan kepada kita, tetapi ada juga kita mendengar masalah sosial yang berpunca daripada laman web sosial ini.
“Sebagai contoh ialah berkenalan melalui laman web ini, kita sering mendengar kes-kes masalah sosial seperti kes rogol berlaku dan setelah disiasat ada mangsa yang mengaku hanya mengenali suspek melalui laman web sosial seperti ini,” katanya.
Oleh yang demikian menurut beliau, pengguna laman web sosial seperti Facebook harus bijak mengatur pergaulan mereka dalam menggunakan kemudahan teknologi berkenaan.
“Semua ini sebenarnya bergantung kepada individu pengguna sendiri, yang penting adalah pengguna harus bijak dengan tidak harus mempercayai sepenuhnya individu yang baru dikenali melalui laman web seperti ini kerana kemudahan seperti ini merupakan kegunaan global.
“Justeru kita harus manfaatkan kemudahan seperti ini untuk kebaikan bersama dan jangan kerana sikap individu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kemudahan ini akan mencemarkan imej laman web sosial seperti ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment