MELBOURNE: Seorang pakar ekonomi pertanian Australia menyanjung tinggi  Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kerana visinya untuk membangunkan  tanah rancangan dan meningkatkan taraf kehidupan pekebun kecil di  Malaysia pada sekitar 1960an.
"Tun Abdul Razak adalah hero  peribadi saya," kata Dr Colin Barlow pada persidangan ke-18 Persatuan  Pengajian Asia Australia di University of Adelaide semalam ketika beliau  membentangkan kertas kerja mengenai "Peralihan Pertanian di Malaysia  1960-2010".
Barlow berkata, bahawa sebaik tiba di Kuala Lumpur  pada 1963 untuk bertugas di Institut Penyelidikan Getah, beliau  mendapati bahawa agensi luar bandar dan badan-badan penyelidikan  kekurangan kemampuan untuk meningkatkan mutu pertanian di Malaysia dan  banyak yang perlu dilakukan.
"Apa yang harus dilakukan dalam  suasana sekitar 1960an ini ialah memberi tumpuan yang lebih kepada  meningkatkan taraf kehidupan pekebun kecil secara individu atau  berkumpulan. Kami perlukan seorang yang mempunyai kuasa, yang rapat  dengan rakyat dan memahami aspirasi mereka.
"Dan kami dapati  orangnya ialah Tun Abdul Razak. Beliau menjadi arkitek dalam menyediakan  penyelesaian praktikal kepada kehendak popular...itulah dia hero  peribadi saya."
Barlow berkata, Tun Abdul Razak, yang menjadi  Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu,  adalah seorang individu yang menggabungkan visinya yang hebat dengan  kemahiran beliau sebagai pemimpin dan pentadbir ke arah memajukan skim  tanaman semula dan pembangunan rancangan tanah baru.
"Tun Abdul  Razak bertanggungjawab membawa perubahan kepada pendidikan dan kesihatan  luar bandar dan membina jalan dan infrastruktur lain sebelum  mempelopori transformasi lebih meluas di peringkat nasional menerusi  Dasar Ekonomi Baru pada 1970an," katanya.
Barlow, yang sekian  lama terbabit dalam pembangunan luar bandar terutamanya di Malaysia,  Indonesia, Filipina dan Sri Lanka, memberitahu persidangan itu bahawa  satu lagi inisiatif penting di Malaysia sekitar 1960an ialah pembentukan  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjadi sebuah badan  yang amat berjaya selepas melalui peringkat awal yang sukar.
Ia  membuka dan menguruskan banyak kawasan tanaman, pertamanya dengan getah  dan kemudiannya kelapa sawit, katanya.
Barlow berkata, bahawa  satu daripada kunci kejayaan Felda ialah Tan Sri Raja Muhammad Alias  Raja Muhammad Ali, yang berkhidmat dengan lembaga itu selama 35 tahun,  separuh daripada tempoh itu sebagai pengerusi Felda.
"Beliau  adalah seorang pemimpin dan pentadbir berwawasan, dan tanpanya gergasi  perusahaan sosial ini mungkin gagal," katanya.
Beliau berkata,  bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai kecenderungan  ke arah memajukan sektor pertanian selain untuk mencapai kesaksamaan  sosio-ekonomi manakala seorang lagi bekas Perdana Menteri Tun Dr  Mahathir Mohamad pula memberi tumpuan kepada pembangunan sektor  pekilangan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Barlow, yang  mengakui jiwanya rapat dengan Malaysia, berkata beliau  ternanti-nantikan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia dilihat sebagai laluan bagi  menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
"Saya  benar-benar berharap ia akan merintis jalan ke arah kejayaan Malaysia  yang berterusan," katanya.
Barlow berkata, bahawa sektor  pertanian di Malaysia, yang dianggap enjin pertumbuhan ketiga,  berpotensi untuk berkembang tetapi ini bergantung kepada kepimpinan masa  depan.
Barlow pernah menulis beberapa buku mengenai Malaysia,  yang terbaru berjudul "Malaysian Economics and Politics in the New  Century". - Bernama
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TunRazakheroperibadisaya_PakarekonomiAustralia/Article
No comments:
Post a Comment