Sunday, July 11, 2010

Tanam semangat minat membaca

Tanam semangat minat membaca


Saniah Mohd. Khalid (dua dari kiri) bersama sebahagian murid dan guru di pondok bacaan SK Tengku Mahmood Iskandar 1, Pontian.


PONTIAN 9 Julai - Utusan Malaysia dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar 1 di sini melancarkan sebuah pondok bacaan dalam usaha menanamkan semangat minat membaca dan kalangan pelajar.

Guru Besar sekolah berkenaan, Saniah Mohd. Khalid berkata, tujuan utama pembinaan pondok bacaan tersebut untuk memberi pilihan kepada murid-murid mendapatkan bahan bacaan sampingan selain yang terdapat di perpustakaan sedia ada.

Beliau berkata, pondok tersebut bukan sahaja dilengkapi dengan akhbar Utusan Malaysia, malah turut menyediakan pelbagai bahan bacaan keluaran Kumpulan Utusan.

"Murid-murid turut mendapat manfaat melalui sisipan akhbar antaranya ADaP, Utusan Melayu Mingguan dan Estidotmy.

"Selain dapat menambahkan ilmu pengetahuan, bahan bacaan seperti sisipan ADaP diharap dapat dijadikan rujukan terutamanya kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan," katanya pada majlis pelancaran pondok bacaan tersebut di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengurus Pemasaran Wilayah Selatan, Tengku Izaham Tengku Adnan dan Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan.

Sementara itu, Tengku Izaham berkata, pemilihan sekolah tersebut dibuat memandangkan ia merupakan pelanggan tetap akhbar Utusan Malaysia sejak dahulu.

Beliau berkata, bagi memastikan pondok bacaan tersebut sentiasa dipenuhi dengan bahan bacaan, pihaknya akan memberikan bahan bacaan terbaru bagi setiap tiga bulan sekali.

Seorang murid, Norazmirah Sarli, 11, berkata, bahan bacaan yang disediakan di pondok bacaan itu amat memberi manfaat terutamanya sisipan ADaP dan Estidotmy yang banyak dijadikan sebagai bahan rujukan.

"Jika dahulu pada waktu rehat saya dan rakan-rakan banyak menghabiskan waktu di kantin, tetapi dengan adanya pondok bacaan ini, kami akan meluangkan lebih banyak masa untuk membaca," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_01.htm


No comments:

Post a Comment