Sunday, July 11, 2010

profesion perguruan bukanlah pilihan calon yang cemerlang

SARIKEI: Hanya tujuh peratus daripada pelajar yang diterima masuk ke Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) mendapat 7A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala bagi Program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) hanya tiga peratus yang mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas.

KENANGAN: Pelajar Ambilan Jun 2010 IPG Rajang merakam gambar kenangan bersama pengarahnya Nichilas Ugul dan sebahagian pensyarah.
Ini dengan sendirinya menunjukkan profesion perguruan bukanlah pilihan calon yang cemerlang, kata Pengarah IPG Kampus Rajang, Nicholas Ugul pada majlis penutupan rasmi Program Pengurusan Pelajar Baru Ambilan Jun 2010 yang berlangsung semalam di IPG kampus Rajang.

“Jika dibandingkan dengan negara seperti Australia, Singapura, Republik Korea dan Finland, profesion perguruan merupakan pilihan utama siswazah di sana dan kelayakan untuk memohon program perguruan amat terhad kepada 10 hingga 15 peratus bagi siswazah terbaik dari setiap kohort dan syarat kemasukan amat ketat sekali,” kata Nicholas.

Menurut Nicholas lagi, guru yang layak bukan hanya dilihat dari segi pencapaian yang diperolehi dalam bidang akademik tetapi turut memiliki sikap dan aptitud yang sesuai dengan tuntutan perguruan.

Beliau juga menasihatkan para pelajar agar tidak membandingkan IPG Rajang dengan IPG yang lain kerana menurut beliau setiap IPG mempunyai cara yang berbeza dalam pengurusan dan pentadbiran .

Pada masa yang sama, Nicholas juga mengingatkan semua pelajar agar menjaga disiplin dan nama baik IPG Rajang sewaktu dan selepas tamat pengajian di IPG.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Rajang, Mat Kamal bin Abdul Majid berkata, seramai 108 orang pelajar telah dipilih untuk mengikuti kedua-dua kursus itu di IPG Rajang tetapi hanya 101 orang sahaja mendaftarkan diri.

Mereka merupakan pelajar yang telah berjaya dipilih bagi mengikuti Program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP) .

Katanya, tujuh orang yang tidak mendaftar adalah disebabkan mereka mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi yang lain.

Seramai 53 orang mendaftar untuk mengikuti kursrus KPLI sementara 48 orang akan mengikuti kursus PPISMP.

Menurut Mat kamal, seramai 78 orang pelajar terbabit berasal dari Sarawak, 12 dari Sabah dan 11 dari Semenanjung Malaysia, kata Mat Kamal.
‘Guru Pembina Negara Bangsa’ merupakan tema Program Minggu Pengurusan Pelajar Baru bagi ambilan Jun 2010 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang.

No comments:

Post a Comment