Sunday, July 11, 2010

283 atau tiga peratus daripada 9,462 sekolah dikategorikan sebagai sangat teruk

POKOK SENA: Kira-kira 283 atau tiga peratus daripada 9,462 sekolah di seluruh negara ketika ini dikategorikan sebagai sangat teruk dari segi fizikal berdasarkan laporan audit oleh Jawatankuasa Pengauditan Kemudahan Fizikal Sekolah yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kebanyakan daripadanya terdiri daripada sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang akan diberi perhatian segera oleh kerajaan demi kepentingan rakyat.
Katanya, penilaian itu dibuat berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu dari sudut fizikal sekolah yang merangkumi kemudahan asas, sama ada ia mengikut keperluan dan peralatan mencukupi ke atas semua peringkat jenis sekolah di seluruh negara.
"Mengikut jumlah keseluruhan terdapat sebanyak 9,662 sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di negara ini, namun terdapat 200 sekolah tidak menyertai audit kerana mempunyai kelengkapan dan kemudahan mencukupi.

"Semua sekolah ini diaudit berdasarkan kriteria ini dan dinilai mengikut tahap baik, sederhana, teruk dan sangat teruk.

"Ia membabitkan sekolah menengah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama bantuan kerajaan," katanya selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Pokok Sena di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin.
Mohd Puad berkata, mulai kelmarin satu jawatankuasa sudah diarahkan untuk membuat penilaian semula bagi mengenalpasti tindakan yang perlu diambil untuk memastikan sekolah berkenaan dapat dinaik taraf ke tahap lebih baik.

"Jawatankuasa yang dilantik akan memberi syor mengenai tindakan yang perlu sama ada mengganti atau menambah peralatan dan kemudahan di sekolah.

"Ia sampai kepada tahap menukar lokasi sekolah jika diperlukan terutama bagi yang sering terbabit dengan banjir.

"Jawatankuasa ini juga akan mengemukakan laporan mengenai kos yang diperlukan dalam usaha menambah baik sekolah terbabit di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)," katanya.

Beliau berkata, usaha itu perlu bagi merapatkan jurang antara sekolah luar bandar dengan sekolah di bandar demi kepentingan rakyat di semua peringkat.

"Kerajaan memang komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat apatah lagi jika ia membabitkan soal pendidikan yang menjadi salah satu keutamaan kita selama ini," katanya.

Sumber: www.bharian.com

No comments:

Post a Comment