Sunday, July 11, 2010

SK Taman SEA bakal catat rekod

SK Taman SEA bakal catat rekod

PETALING JAYA 8 Julai - Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman SEA bakal mengukir sejarah apabila mereka akan membaca buku cerita selama sembilan hari tanpa henti mulai 15 Julai ini.

Program Bacathon 2010 anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records kerana pertama kali diadakan di negara ini.

Pengerusi PIBG sekolah itu, Wong Kok Beng berkata, program yang dijangka berakhir pada 24 Julai itu melibatkan 72 murid tahun empat, lima dan enam.

Katanya, ia diadakan sempena sambutan Bulan Membaca bulan ini dan bertujuan mengumpul dana bagi membaik pulih infrastruktur sekolah.

"Program ini diadakan bagi menyahut seruan kerajaan untuk memupuk minat membaca kanak-kanak dari peringkat sekolah rendah di samping mengumpul dana membaiki infrastruktur bangunan sekolah ini yang sudah berusia 27 tahun," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, majlis penutup program itu akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah selaku penaung program tersebut.

Kok Beng memberitahu, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM50,000 dan berharap badan-badan korporat sedia memberi sumbangan bagi membantu merealisasikan objektif program itu.

Pengerusi program itu, Nordin Ahmad pula berkata, Program Bacathon 2010 merupakan yang pertama diadakan di peringkat sekolah rendah dan melibatkan murid-murid daripada pelbagai kaum.

"Tujuan menggunakan bahan bacaan bahasa Melayu adalah untuk memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penglibatan murid-murid daripada semua kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Tambah Nordin, aktiviti lain turut disediakan sepanjang program itu seperti gerai jualan, pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan kempen derma darah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

No comments:

Post a Comment