Caption: PENERANGAN...Harden (depan kiri) ketika bersama rombongan meninjau pusat Hemodialisis di Hospital Sri Aman.
SRI AMAN, Selasa ( 6 Julai ) – Berita baik untuk pengidap  penyakit buah pinggang di Sri Aman. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  telah meluluskan penghantaran lima buah mesin HemoDialisis (mesin  pencuci buah pinggang) yang baru kepada Hospital Bahagian Sri Aman dalam  masa terdekat ini.
Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis  mengumumkan perkara ini kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke  pusat HemoDialisis, Hospital Bahagian Sri Aman hari ini.
“Hospital Bahagian  Sri Aman kini mempunyai seramai 27 orang pesakit buah pinggang dan  rawatan mereka kini bergantung kepada lima buah mesin HemoDialisis yang  masih beroperasi dengan dua lagi mesin diletakkan dalam kedudukan sedia  (standby).
“Bagaimanapun setelah saya mengadakan pertemuan dengan pihak  KKM baru-baru ini maka pihak mereka berkenaan untuk menambahkan sejumlah  lima buah lagi mesin terbabit untuk kegunaan Hospital Bahagian Sri Aman  selepas ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang  memberitahu kesemua lima buah mesin HemoDialisis yang baru itu akan  dapat digunakan oleh Hospital Sri Aman setelah sistem perawatan air  Osmosis secara berbalik dipasang di Pusat Dialisis berkenaan selepas  ini.
“Terima  kasih kita ucapkan kepada pihak KKM kerana telah meluluskan penambahan  mesin Dialisis untuk kegunaan semua pesakit Buah Pinggang di Hospital  Bahagian Sri Aman,” katanya.
Sementara itu Harden juga menambah bahawa pihak KKM kini masih  lagi dalam peringkat perbincangan mengenai tapak pelan untuk membina  sebuah hospital baru bagi mengantikan Hospital Bahagian Sri Aman yang  lama.
“Kita  kini mempunyai tanah lebih dari 50 ekar di kawasan Kejatau bagi tujuan  itu yang telah dibeli dengan harga RM7.14 juta. Bagaimanapun kita masih  menunggu keputusan daripada pihak Jabatan Kerja Raya bagi tujuan  kelulusan berhubung kesesuaian penggunaan tapak tanah ini.
“Jika JKR  meluluskan 15 ekar tanah sahaja bagi tujuan ini maka projek pembinaan  Hospital Bahagian Sri Aman yang baru boleh dimulakan menerusi Rancangan  Malaysia Ke-10. Namun jika kita mahu menggunakan tapak tanah yang baru  maka ia akan memakan masa dari dua hingga tiga tahun mulai sekarang,”  menurut beliau.
No comments:
Post a Comment