Saturday, July 17, 2010

Kompak dan boleh laras

ARKIB : 12/07/2010

Kompak dan boleh laras


Masaki Matsumae (dua dari kiri) memperkenalkan model kamera DSLR terbaru daripada Sony, NEX-3 dan NEX-5 pada pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


NIPIS, ringan, bersaiz ultra kompak serta dilengkapi kelebihan lensa boleh laras. Itu yang ditawarkan oleh kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) terbaru daripada syarikat peneraju produk elektronik terkenal, Sony Malaysia (Sony).

Tidak kira anda jurukamera amatur mahu pun profesional, aplikasi model NEX-3 dan NEX-5 ini pasti akan memberi kepuasan kepada aktiviti pengimejan.

Menurut Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Pemasaran Pengguna Sony Malaysia, Masaki Matsumae, pengenalan dua model tersebut adalah untuk memenuhi kehendak pengguna yang mahu merakam gambar berkualiti di mana sahaja mereka berada.

"Dengan segala kelebihan ini, ia bakal menawarkan aktiviti rakaman foto yang lebih fleksibel, tepat dan menarik,'' katanya pada pelancaran model tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

NEX-3 dan NEX-5 yang dilengkapi sensor Exmor APS HD CMOS menawarkan rakaman imej 15 kali lebih jelas daripada kamera kompak biasa dengan kurang bunyi bising.

Menerusi kelebihan resolusi 14.2 megapiksel, kedua-dua kamera ini berupaya merakam imej dalam keadaan cahaya rendah tanpa sokongan flash atau tripod.

Bagi operasi pelarasan lensa, pengguna ditawarkan dengan beberapa pilihan lensa seperti lensa sudut luas, lensa pemfokusan standard, lensa pemfokusan tinggi, lensa keluasan ultra dan lensa fisheye.

Dari segi paparan pula, ia dilengkapi skrin LCD Xtra Fine bersaiz tiga inci dengan nisbah keluasan 16:9 serta diintegrasikan bersama teknologi TruBlack.

Untuk fungsi rakaman video, NEX-3 boleh merakam visual definisi tinggi (HD) dalam format MP4 sementara NEX-5 mampu merakam video HD penuh berformat AVCHD.

Keunikan lainnya ditampilkan pada fungsi 3D Sweep Panorama di mana pengguna boleh menjalankan rakaman berkualiti tinggi secara tiga dimensi (3D).

Dengan berat hanya 229 gram (g) dan ketebalan lebih kurang 24.2 milimeter (mm), ia mudah untuk dibawa dan digunakan di mana-mana sahaja.

NEX-3 yang ditawarkan dalam pilihan warna hitam dan silver serta NEX-5 dengan warna hitam, perak, kelabu dan merah kini boleh diperoleh di pasaran dengan harga bermula daripada RM1,999.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_02.htm

No comments:

Post a Comment